Kes Najib: ‘Justice Hurried Is Justice Buried’, Frasa Boleh Dihayati – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – “Justice hurried is justice buried, adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Katanya, jasa dan khidmat bakti Najib kepada UMNO dan negara sebelum ini tidak boleh dinafikan dan beliau menzahirkan simpati terhadap bekas perdana menteri itu dan seluruh ahli keluarganya susulan keputusan hari ini.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Najib dan keluarga terus tabah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan menganggap kes tersebut akan terus diulas pelbagai pihak.

“Beliau anak Perdana Menteri, namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai Timbalan Menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa. Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi,” katanya menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berhubung dana SRC International. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Beliau sekali lagi dituduh di Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta) yang merupakan hasil kegiatan haram dan kesemuanya kes itu dibicarakan bersama.

Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Najib menghadapi empat lagi kes di mahkamah membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB, pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.