Detik Duka UMNO, Semangat Najib Takkan Pudar, Perjuangan Tetap Segar – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apabila mahkamah mengekalkan keputusan sabitan ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas rayuan, maka inilah merupakan detik duka buat UMNO.

Namun katanya, semangat Najib tak akan pudar dan perjuangan UMNO tetap segar.

“Beliau sendiri meluahkan yang ‘kekuasaan kehakiman ditekan ke atas dirinya dengan cara yang sangat tidak adil.’

“Kami berada di luar dan dalam mahkamah turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa.

“Semoga Datuk Seri Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini. Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib sekali gus menyaksikan perdana menteri keenam itu gagal dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes berlangsung.

Ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), masa akan menentukan segalanya.

“Buat Datuk Seri Najib Razak dan ahli UMNO sekalian ingatlah ayat 40 surah al-Taubah, ‘Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.’

“Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang Datuk Seri Najib kita tetap bersama. Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat. Tiada pengkhianatan sesama kita. Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar.

“Maka ayuh kita bangkit mengharungi onak dan duri, api perjuangan kita terus semarakkan. Marilah kita bangkit bersatu hati dan tenaga agar perjuangan DS Najib terus menyala-nyala. Insya-Allah, akan tiba masanya apabila Allah memakbulkan doa kita semua dan memberikan rahmat maka tiada kuasa lain dapat menghalang dan kita akan beroleh kejayaan, keselamatan dan perlindungan-Nya.”

Dalam masa yang sama Zahid turut menyertakan petikan dari Surah Al-Imran ayat 54: ‘Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.’

“Inilah peledak semangat dan kita terus bangkit serta terus mara ke hadapan, walaupun di belakang duri di hadapan api, kita tempuh bersama-sama!” katanya lagi.

Turut disertakan juga ungkapan Sasterwan Negara, Usman Awang:

Di belakang duri di depan api
Kita tak bisa undur lagi
Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi
Kebulatan ikrar tak akan berubah
. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.