Sentiasa Fokus, Yakin BN Perak Mampu Menang Selesa Pada PRU15 – Mohamad

IPOH, 23 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan keyakinan untuk BN Perak mentadbir dengan selesa negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Bagaimanapun katanya, pertambahan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dicapai di samping mengekalkan kemenangan di 27 kerusi pada PRU-14.

“DUN dulu menang 27 dan kita mahu rampas sekurang-kurangnya sembilan kerusi untuk pastikan BN boleh mentadbir dan mengurus dengan sendiri.

“Saya tahu ini agak rumit tapi saya percaya dengan semangat yang ditunjukkan malam ini yakin bahawa Perak akan menubuhkan kerajaan BN selepas PRU-15.

“Manakala BN Perak perlu bagi 16 kerusi Parlimen untuk tubuh kerajaan di peringkat Persekutuan, menang 11 dan kita boleh menang lagi lima jangan tidak percaya atau yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Jentera PRU-15 BN Negeri Perak yang berlangsung di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta kepimpinan lain.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan perpaduan dalam kalangan parti komponen perlu dijaga untuk memastikan tujuan utama memenangi PRU-15 tercapai.

Beliau malah pada masa yang sama berpesan kepada jentera untuk sentiasa fokus dan mengabaikan perspektif negatif dilemparkan oleh segelintir pihak.

“Jangan tak yakin atau dengar cakap-cakap yang tidak menentu, jangan terlampau ikut sangat dengan peramal politik… itu kerja dia tapi sebagai pengamal politik lakukan kerja kita tahu dan mesti ada keyakinan diri di Perak boleh beri kemenangan itu mesti dilakukan dengan bersama.

“Jangan berselisih faham, perigi yang keruh tidak akan mengeluarkan air yang jernih, air telaga kita jangan keruh… suasana antara kita dalam BN jangan telagah.

“Muafakat punca selamat, sengketa punca celaka dan kita akan dapat menebus maruah dan menubuhkan kerajaan BN pada PRU-15,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib