Saya Minta Maaf, Jika Keputusan Tidak Berpihak Kepada Saya – Najib

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

Najib, 69, yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

“Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

Najib yang kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik untuknya.

Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. – BERNAMA