Ikrar Bersatu Hati, Tekad Untuk BN Bentuk Kerajaan Pada PRU15 – Saarani

IPOH, 23 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menitipkan harapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) diberikan kepercayaan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan dan negeri khususnya di Perak.

Beliau percaya perkara itu akan diperoleh berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh jentera dalam kesiapsagaan bagi berhadapan PRU-15 ini.

“Tidak ada pilihan melainkan gerakkan jentera di semua peringkat dalam kampung, taman dan mana sahaja kerana semuanya ingin pastikan BN kembali jadi kerajaan tunggal.

“Semuanya ikrar, bersatu hati untuk pastikan kita juga menang di Parlimen bagi menyumbang kerusi pembentukan kerajaan tunggal BN Persekutuan.

“Dengan begini semangat gelombang ditunjukkan rakan-rakan yang hadir maka saya percaya ia signal jelas kepada mereka di luar sana yang selalu kotak-katikkan kita bahawa BN tidak toleh ke belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Jentera PRU-15 BN Negeri Perak yang berlangsung di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta kepimpinan lain.

Jelas Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, bagi mencapai perkara tersebut gerak kerja yang dilakukan jentera adalah penting apatah lagi dengan strategi BN untuk kekal bergerak solo.

“BN akan pergi solo atas kekuatan kita sendiri untuk menang PRU-15 ini, kemenangan itu tidak dikira besar bendera atau ramai orang kerana ianya dikira berasaskan kertas undi BN.

“Tugas kita pada hari mengundi untuk pastikan penyokong datang ke tempat mengundi dan masuk kertas dalam kotak undi supaya pada malam tersebut insya-Allah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umumkan bahawa BN mendapat kepercayaan di Perak untuk tadbir negeri ini untuk lima tahun akan datang dan menyumbang Parlimen untuk tubuh kerajaan Persekutuan,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.