Terus Bergerak Ke Depan, Suara Akar Umbi Tunjang UMNO – Sharkar

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara yang  bermula 15 Ogos lalu terus bersemarak di merata tempat.

Rata-rata UMNO bahagian mengambil kesempatan pada hari minggu untuk mengadakan majlis perasmian yang diadakan secara  berkelompok.

Sabtu lalu, UMNO bahagian Temerloh turut mengadakan perasmian berkelompok  yang disempurnakan Ketua bahagian, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengambil kesempatan menitipkan beberapa pesanan dan juga kata-kata semangat kepada ahli di akar umbi yang merupakan tunjang kekuatan parti.

“Sabtu lalu saya merasmikan persidangan berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Temerloh. Sedikit amanat serta ucapan saya sampaikan kepada semua bagi menjalankan amanah serta tanggunjawab untuk bersidang seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Kata beliau, mesyuarat cawangan serta persidangan yang berlangsung kini adalah platform terbaik untuk akar umbi berkongsi pandangan masing-masing.

“Inilah uniknya UMNO… suara akar umbi adalah amat penting kerana kuatnya parti adalah kerana akar umbi. Sesungguhnya parti amat menghargai segala jasa dan sumbangan masing-masing,” ujarnya.

Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri bermula pada 15 Ogos lalu sehingga 18 September depan – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.