Saya Tidak Guna Sumbangan Politik RM6 Juta Untuk Kepentingan Peribadi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak pernah menggunakan wang RM6 juta yang didakwa sumbangan politik daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB) Chew Ben Ben untuk kepentingan peribadinya.

Ahmad Zahid, 69, berkata beliau sama sekali tidak pernah memasukkan wang yang diterima dalam bentuk dua keping cek itu ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya menyerahkan wang tersebut kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi (YAB) miliknya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berulang kali menegaskan beliau memilih untuk tidak memasukkan wang RM6 juta tersebut ke dalam akaun peribadinya atau digunakan untuk kepentingan peribadinya.

“Walaupun pada ketika itu saya memegang jawatan timbalan presiden parti (UMNO) dan wang terbabit boleh digunakan bagi tujuan politik, saya tidak menggunakannya untuk tujuan politik dan peribadi, sebaliknya disalurkan untuk amal jariah, wakaf dan aktiviti keagamaan,” katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Beliau berkata demikian semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Kepada soalan Abdul Malik mengapa wang RM6 juta yang didakwa beliau sebagai sumbangan politik tidak dimasukkan ke dalam akaun parti politik UMNO atau Barisan Nasional, Ahmad Zahid menjawab “tidak semestinya”.

“Sekiranya mana-mana ahli politik menerima sumbangan politik, tidak semestinya wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun parti politik, kerana pada cek tersebut tidak dinyatakan ‘sumbangan kepada parti politik’

“Tetapi sekiranya wang diberikan kepada mana-mana ahli politik, beliau mempunyai budi bicara untuk memasukkannya ke dalam akaun peribadinya atau ke dalam mana-mana akaun yang difikirkan sesuai,” katanya.

Ahmad Zahid juta tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Malik bahawa wang RM6 juta yang diterimanya daripada Chew merupakan wang rasuah atas usahanya kerana menyokong pemberian kontrak kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), yang mempunyai prestasi tidak baik dalam melaksanakan projek cip pasport Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan 15 yang dihadapinya, Ahmad Zahid didakwa menerima dua suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik syarikat DTSB, melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia, untuk Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pukul 2. – BERNAMA