Kerajaan PH Selangor Gagal, Masalah Banjir Kilat Berulang Lagi

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Peruntukan RM150 juta bagi Mitigasi Banjir oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilihat gagal apabila Shah Alam dan kawasan sekitar sekali lagi berhadapan dengan situasi banjir pada 20 Ogos yang lalu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, setelah tiga bulan inisiatif tersebut diumumkan, banjir kilat masih lagi berlaku dan ianya sekaligus mendatangkan kesan negatif kepada penduduk setempat.

“Pada 14 April 2022, MBSA dan kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk menangani bencana banjir disini. Namun setelah tiga bulan inisiatif ini diumumkan, perkara yang sama masih lagi berlaku.

“Malah, tiada apa-apa perubahan yang dapat dilihat jika dibandingkan dengan situasi banjir yang berlaku beberapa bulan lepas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurutnya lagi, Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang dicanang-canang sebelum ini hanya ‘omongan kosong’ dan beliau turut mempersoalkan ke mana perginya wang peruntukan yang diumumkan sebelum ini.

“Kemana perginya RM150 juta yang diperuntukkan sebelum ini? Apakah dengan bajet sebesar itu, pelan tindakan yang seharusnya digunakan untuk menguruskan banjir di Selangor telah dipersiakan oleh Kerajaan Negeri dan MBSA?

“Rakyat Selangor sudah muak dengan janji-janji palsu seperti ini. Kita mahukan perubahan yang memberi manfaat dan bukannya pembaziran jutaan ringgit tetapi hasilnya tiada.

“Diharap pihak MBSA dan Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan penjelasan berkenaan isu ini. Sila jelaskan kepada rakyat kenapa banjir kilat masih berlaku walaupun jutaan wang rakyat (cukai) telah dibelanjakan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.