Bukan Masa ‘Honeymoon’ Lagi, BN Perlu Menang PRU15 – Ab Rauf

AYER KEROH, 22 Ogos – Sudah hampir satu tahun Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Melaka yang dilaksana melalui mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sehubungan itu katanya, ini bukan lagi masa untuk bersuka ria dan BN Melaka perlu bersama-sama kepimpinan pusat bagi memastikan parti menang untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan membentuk sebuah kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

“Kita kena ingat dan jangan lupa sekarang ini bukan masa untuk ‘honeymoon’ lagi. Kita jangan rasa sewaktu sakit pandai cari ubat, segala dukun dicari, segala doktor kita pergi tapi bila menang semua ubat-ubat ini sudah lupa.

“Ingat, masa sakit ramai orang datang beri ubat, masa sakit tidak tahu ke mana nak bawa haluan kita. Masa kita sakit semuanya terkapai-kapai mencari ubat yang paling mujarab. Ubat telah dapat dan tidak duduk dalam ICU, hanya 22 bulan duduk dalam ICU.

“Ingat… kita akan berhadapan PRU dan lebih penting setelah menang PRN Melaka, maka kini masanya bekerja. Apa gunanya kalau menang kerajaan negeri tapi tidak dapat bentuk kerajaan di Putrajaya dan kita tak mahu kalah kali kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka di MITC Ayer Keroh, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Syamsul Anuar Nasarah; pemimpin komponen, Friends of BN serta jentera-jentera BN Melaka.

Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menjelaskan taruhan BN pada PRU ini amat besar ertinya kerana ia akan dapat membina negara yang harmoni.

“Sekali BN kalah seluruh negara dan bangsa berubah. PRU ini adalah taruhan kepada bangsa, agama dan negara. Taruhan kepada kawan-kawan kita yang bersama-sama membina Malaysia dan taruhan ini amat besar ertinya.

“Kita tak mahu kalah kali ini dan apabila BN kalah terpaksa bangkit dengan upaya sendiri untuk melawan arus. Hari ini kita tahu bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Razak melalui keadaan yang sangat-sangat getir … kerana apa… kerana BN kalah pada PRU lalu. Kerana kalah kita dihina dan dipinggirkan secara terhormat dan terancang oleh mereka, maka kita mesti kembalikan keupayaan parti kita,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.