PRU15: BN Optimis Menang Di Kedah – Mahdzir Khalid

KUALA NERANG, 21 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan UMNO optimis boleh memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Kedah sekali gus dapat merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum berkenaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keyakinan itu, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya mengenai sokongan rakyat di Kedah kepada BN, pada masa ini.

“Kita mempunyai keyakinan yang tinggilah…saya fikir bahawa laporan, aktiviti dan juga melihat kepada suasana, saya yakin bahawa kita boleh dapat yang kita cita-citakan (menang di Kedah pada PRU15),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Pusat Daya Maju atau ‘COME’ di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai keyakinan BN untuk menang pada PRU15 di Kedah, namun enggan mengulas lanjut mengenai kerjasama UMNO dengan PAS di negeri itu pada PRU kelak.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata isu mengenai kapal tempur pesisir (LCS) wajar dilaporkan secara terbuka, supaya ia difahami rakyat bagi mengelakkan isu itu dijadikan sebagai bahan politik seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada PRU14 pada PRU15 nanti.

“Sebab itu Perdana Menteri ada sebut bahawa ada keterbukaan dalam siri laporan yang nak dilaporkan. Jadi mana yang boleh diklasifikasi sebagai bukan lagi rahsia, bagilah rakyat tahu apa-apa yang sepatutnya,” katanya.

Hari ini media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat berhak mendapat penjelasan berhubung isu pembekalan kapal tempur itu, dan kerajaan tidak akan berselindung dalam hal tersebut kerana ia berkait soal integriti.

Perdana Menteri menegaskan isu pembekalan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melibatkan kontrak berjumlah RM9.13 bilion itu, perlu dijelaskan dengan teliti supaya tidak berlaku spekulasi dan rakyat tidak membuat keputusan sendiri.

Mengenai pelancaran pusat itu, Mahdzir ia diwujudkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi menyediakan pelbagai kemudahan peralatan bagi tujuan keusahawanan, untuk kegunaan masyarakat luar bandar secara percuma. – BERNAMA