UMNO Kuat Kerana Akar Umbinya Setia, Hargai Jasa Dasar Perjuangan Parti – Rizalman

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar melihat parti terbabit terus kuat kerana akar umbinya kekal setia yang menyokong dari peringkat bawahan.

Menurut beliau mereka setia kerana berterima kasih kepada UMNO menerusi dasar-dasar yang telah dilaksanakan selama ini sepanjang menerajui kerajaan bersama Barisan Nasional (BN).

“Malam tadi Persidangan UMNO Cawangan Sri Johor dilangsungkan dan saya adalah Ketua UMNO Cawangan Sri Johor. Seronok tengok wajah mereka ceria dan bersemangat.

“Ahli akar umbi bukanlah golongan yang mendapat keuntungan dan ganjaran secara langsung kerana menyokong UMNO. Mereka setia kerana mereka berterima kasih kepada UMNO.

“Atas perjuangan UMNO mereka boleh tinggal di bandar melalui penyewaan rumah DBKL. Melalui dasar UMNO ramai anak-anak mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi dan berjaya dalam kehidupan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata Rizalman lagi, parti harus mempelbagaikan pendekatan dalam usaha menarik sokongan pelbagai peringkat kumpulan.

“UMNO tidak boleh lagi bergantung dengan jasa yang ditabur untuk meraih sokongan, UMNO harus terus kreatif untuk menarik minat generasi muda dengan tawaran baru yang lebih menarik.

“Insya-Allah kita akan pelbagaikan dan bersama-sama dengan jentera setiap peringkat dalam usaha meyakinkan masyarakat terhadap parti,” ujarnya. – UMNO Online