Tumpu Persiapan Dahulu, Soal Agihan Kerusi Belum Dimuktamad – Mohamad

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata soal pembahagian kerusi belum diputuskan secara mendalam kerana hari ini tumpuan utama adalah untuk melihat kesiapsiagaan di pelbagai peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau sasaran utama parti sudah pasti untuk mencapai kemenangan dan seharusnyalah kesiapsiagaan jentera amat penting diperkasakan secara menyeluruh.

“Kami belum lagi sampai ke tahap pembahagian kerusi dan kita mahu melihat kesiapsiagaan BN terlebih dahulu kerana pilihan raya kali ini kita akan bekerja dalam satu pasukan BN yang besar. Jadi semua akan bersama-sama walaupun di tempat MCA dan MIC tidak bertanding jentera mereka perlu digerakkan untuk bersama-sama.

“Perbincangan agihan kerusi akan dilakukan selepas ini dan PRU-15 ini kita mahu menang. Jadi akan ada perbincangan lebih lanjut soal ini dan kita akan lihat sebagai satu pasukan BN.

“Sebab itulah hari ini kita turun untuk melihat kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sejumlah 26 pimpinan UMNO bahagian di negeri Johor hari ini mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan pusat yang diketuai Mohamad.

Turut bersama ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad dan pimpinan BN negeri yang lain.

Tambah Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, PRU adalah suasana yang berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini kerana PRN tempoh hari keluarga BN seluruh negara turun membantu manakala dalam PRU, negeri-negeri akan menguruskan pilihan raya secara bersendirian.

“Itu sebabnya kesiapsiagaan perlu rapi dan lebih kuat serta mantap. Jadinya kita datang ke negeri ini (Johor) selepas lapan negeri lain yang telah kita lawati.

“Hasil pertemuan ini akan saya laporkan ke jawatankuasa kepimpinan tertinggi parti berkaitan tahap kesiapsiagaan kita. Hari ini kita akan melihat pelbagai aspek,” jelasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.