PH Guna LSC Sebagai Modal… Kapal Ada, Terowong Dasar Laut Yang Tiada – Norliza

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketelusan pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dapat dilihat apabila para pengamal media dibawa melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) bagi membuktikan kewujudannya.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, projek pembinaan kapal perang ini tertangguh disebabkan peralihan kuasa dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan isu ini sebagai ‘modal’ untuk menyerang UMNO/BN.

“Kalau kita lihat isu LCS, betapa telusnya pemerintahan kerajaan kita yang mana kita buat lawatan dan benda tu wujud. Kita kena faham bahawa projek tersebut tertangguh disebabkan PH mengambil alih. Mereka (PH) menyerang kita sebab kebetulan pada waktu itu, projek tersebut di bawah BN yang mana kita perlu menyiapkan kapal-kapal ini.

“Tetapi perlu diingatkan, projek ini tertangguh sewaktu mereka memerintah. Mengapa mereka tidak bercakap mengenai isu-isu yang mereka usahakan seperti terowong, MRT, highway yang tidak berjalan dan tertangguh ketika mereka menjadi kerajaan? Akhirnya, rakyat suffer sebab tak dapat kemudahan-kemudahan tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Apabila disoal mengenai projek terowong yang diusulkan oleh bekas menteri kewangan kerajaan PH, Lim Guan Eng, Norliza menyarankan agar

 

mereka tidak bercakap seolah-olah ‘meludah ke langit’.

 

“Saya sendiri dari Pulau Pinang. Kalau isu terowong ni very simplelah. Dia (PH) buat kajian terowong sahaja dah tiga ratus ribu. Itu kajian sahaja, belum lagi kos-kos lain yang dikeluarkan dan ianya datang daripada kewangan rakyat.

“Tetapi terowong tiada, pelan tiada, apa pun tiada. Jadi, jangan dia bercakap seolah-olah meludah ke langit, jatuh ke batang hidung sendiri,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Norliza merayu kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh PH bagi memburukkan UMNO/BN.

“Saya ingin merayu kepada rakyat, jangan terpengaruh dengan isu-isu yang dikeluarkan oleh PH dan saya juga rasa pada kali ini UMNO/BN telah belajar dari kesilapan yang mana kita cepat menjawab segala mainan persepsi yang dibawa mereka.

“Saya rasa rakyat pun dah pandai, mereka juga telah menilai segala kesilapan sewaktu pemerintahan PH. Jadi percayalah UMNO/BN adalah pilihan yang terbaik untuk rakyat. Kita memerlukan satu kerajaan yang dominan dan melebihi dua per tiga sekiranya kita mahu negara, ekonomi dan rakyat terbela pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.