Kes Najib: Terkilan Permohonan Ditolak, Hormati Keputusan Mahkamah – Mohamad

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Mahkamah berkaitan penghakiman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Namun demikian, katanya UMNO menghormati penghakiman yang dibuat.

“Sekali pun kecewa dan terkilan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang diberikan semalam, UMNO menghormati penghakiman yang menolak permohonan Datuk bagi memasukkan beberapa keterangan (bukti) bagi membuktikan wujud potensi berlakunya konflik kepentingan melibatkan Y.A. Nazlan, hakim Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes ini.

“Dalam permohonan tersebut, telah dihujahkan secara mendalam dan kukuh bahawa segala keterangan baharu yang hendak dimasukkan tersebut akan menunjukkan dengan jelas bahawa wujud pengetahuan dan/atau penglibatan Y.A. Nazlan dalam kes berkaitan SRC/1MDB, yang sekali gus menyebabkan kebebasan beliau sebagai hakim, berpotensi untuk tergugat,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), UMNO dan semua pihak di negara ini, mahukan kebenaran dan keadilan diangkat dengan selayaknya.

“Berbekalkan pendirian ini, UMNO berpandangan bahawa segala ruang dan peluang yang ada sepatutnya dipertimbangkan dan tidak diketepikan atas alasan teknikal. Terutamanya dalam kes besar seperti ini yang melibatkan pelbagai isu yang rumit, dokumen yang bertimbun-timbun, saksi yang ramai serta kewujudan ruang/potensi konflik kepentingan.

“Sekali pun UMNO bersetuju dan menghormati maksim undang-undang bahawa, ‘justice delayed is justice denied’, UMNO turut memandang berat penegasan maksim yang menyatakan bahawa ‘justice hurried is justice buried’.

“Biar apa pun pandangan dan pendirian parti ini, keyakinan kami terhadap institusi kehakiman negara tidak pernah pudar.”

Jelasnya, beliau yakin dan percaya bahawa organ penting negara ini akan melunaskan tanggungjawabnya pada tanahair dengan sebaik-baiknya.

“Kami memanjangkan sokongan dan doa yang tidak putus-putus kepada Datuk Seri Najib. Semoga segalanya dipermudah dan kebenaran serta keadilan akan tertegak,” katanya lagi.

Terdahulu pada Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar dua permohonan Najib iaitu untuk mengemukakan bukti baharu dan permohonan kedua untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC ke tiga atau empat bulan, bagi membolehkan pasukan pembelaan baru Najib membuat persediaan.

Namun begitu, kedua-dua permohonan itu ditolak dan disifatkan oleh Najib sebagai mengejutkan dan sangat mengecewakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.