Isu LCS: ‘Jerung’ Tidak Semestinya Ahli Politik – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan menidakkan segala dakwaan pihak lawan yang mengatakan bahawa ‘jerung’ dalam sesuatu kes penyelewengan itu mestilah melibatkan ahli politik.

Jelasnya, kadangkala ‘jerung’ ini mempunyai kemampuan serta pengaruh yang kuat bagi melakukan kesalahan tersebut.

“Timbalan Pengarah di SKMM, Brigadier Jeneral dan Lefternan Jeneral Bersara Kontraktor untuk kerja-kerja JKR, Pengurusan Tertinggi GLC, COO SEDA, Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pertanian dan Pengarah Syarikat Kejuruteraan. Apakah persamaan kesemua kes-kes ataupun individu ini? Persamaannya ialah, ia menunjukkan bahawa kalau ada rasuah, penyelewengan sama ada didakwa ataupun dah memang disabitkan, tidak semestinya semua membabitkan menteri ataupun ahli politik.

“Penyelewengan ataupun salah tadbir urus dan sebagainya mestilah membabitkan arahan daripada ‘jerung’, daripada menteri ataupun daripada Perdana menteri. Ini satu andaian yang tak semestinya tepat,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut mengakui bahawa terdapat unsur penyelewengan dalam kes LCS setelah membaca laporan yang dikeluarkan PAC, namun meminta semua pihak untuk menunggu sehingga siasatan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita baca laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pada pandangan mereka memang terdapat unsur penyelewengan. Kita kena akui perkara tersebut. Cuma, kita perlu tunggu siasatan SPRM dan dua lagi laporan yang akan dinyahklasifikasikan. Untuk mengatakan bahawa tidak ada kemungkinan langsung bahawa penyelewengan ini membabitkan pihak yang tidak memegang sebarang jawatan politik adalah tidak adil.

“Kita boleh kritik keputusan, tetapi tidak semua kesalahan ataupun kelemahan keputusan itu mesti ada unsur rasuah daripada menteri. Perkara ini, sekali lagi kita perlu tunggu siasatan akhir, baru kita buat pengadilan,” katanya lagi.

Menurut Shahril, lawan UMNO/Barisan Nasional (BN) khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam keseronokan apabila mereka cuba untuk melabelkan sesetengah ahli politik parti itu sebagai ‘jerung’.

“Tapi lawan kita dalam keseronokan dan mereka cuba untuk mencemar UMNO/BN ini 100 peratus dan label ini ‘jerung’, ini ‘ikan bilis’ dan sebagainya. Yang didakwa di mahkamah baru-baru ini, bekas Panglima TLDM itu bukan ‘ikan bilis’, namanya pun Panglima TLDM. Sekali lagi, saya tidak kata beliau bersalah kerana baru didakwa. Kita perlu konsisten. Orang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Semasa zaman PH pun ada juga kes-kes rasuah yang membabitkan perolehan kerajaan. Tiada pula kita kata wajib 100 peratus mesti menteri yang terbabit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahril turut menjelaskan bahawa RM6 bilion yang dikatakan ‘lesap’ oleh pihak lawan itu sebenarnya digunakan untuk membayar pembinaan projek LCS.

“Seperkara lagi, orang cuba gambarkan ‘oh yang dakwa tu puluhan juta, yang kes LCS ini RM6 bilion. Yang cakap tu pun tahu, RM6 bilion ini adalah jumlah yang dibayar untuk projek LCS. RM6 bilion tu bukan ‘lesap’. Kita pun dah nampak apa ‘progress’ pembuatan kapal. Lewat, tapi ada. Kemudian apa barang yang telah dibeli dan sebagainya.

“Jadi, bukan soal RM6 bilion lesap. RM6 bilion ini yang telah dibayar. Adakah sebahagian RM6 bilion itu hilang, pergi kepada yang tak sepatutnya, ada unsur rasuah dan penyelewengan? Itu yang kita nak tahu. Tapi jangan gunakan angka RM6 bilion itu, seolah-olah ia hilang dan semuanya dicuri.

“Natijahnya, berapa pun jumlah yang terbukti diseleweng dan membabitkan unsur rasuah, pesalah yang terbabit itu mestilah diambil tindakan. Kalau orang tu ahli politik, ahli politik. Kalau orang tu menteri, menteri. Kalau bukan menteri, orang lain atau pihak lain, yang itulah yang kita ambil tindakan. Sebelum siasatan lengkap, dan kita kenalpasti sebenarnya siapa, jangan kita jump to conclusion,” katanya lagi. – UMNO Online