UMNO Dukacita Permohonan Bukti Tambahan Najib Ditolak

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Katanya, dengan tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mahkamah, bagaimana UMNO amat memandang berat pendedahan berkaitan Mohd Nazlan berkenaan tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International Sdn. Bhd.

“Walhal beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam kes bersabit syarikat yang sama.

“Kedudukan Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.

“Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga menambah bahawa sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana Hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya sama ada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.

“Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan.

“Semua ini sebenarnya boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.

“UMNO bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.