Sematkan Mentaliti Untuk Menang, Manfaat Persidangan Cawangan UMNO Untuk PRU

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ketua UMNO Merbok, Datuk Annuar Ahmad berkata mentaliti untuk menang perlu ada dalam setiap diri ahli parti dalam usaha membantu kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Berucap pada majlis perasmian serentak persidangan Pemuda UMNO bahagian berkenaan Ahad lalu, Anuar menegaskan, dalam apa jua peringkat, mentaliti amat penting untuk menang dan perlu disemat sedalam-dalamnya.

Natijah daripada itu kelak, segala perancangan dan pelaksanaan bukan sahaja akan berjalan lancar malah akan meningkatkan lagi momentum untuk membantu parti mencapai kemenangan nanti.

“’Tasking’ kepada Pemuda supaya masing-masing bekerja kuat selain membuat persediaan jentera peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta jentera pilihan raya peringkat Parlimen.

“Ini adalah medan terbaik untuk jentera di akar umbi melihat secara menyeluruh dan masing-masing boleh melontarkan idea serta pandangan dalam usaha memperkemaskan lagi perancangan sedia ada untuk kita sama-sama bergerak ke depan menempuh cabaran,” katanya.

Turut serta pada majlis berkenaan pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK).

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini telah menetapkan bahawa tarikh persidangan bagi semua peringkat bermula dari 15 Ogos.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan medianya memaklumkan Persidangan UMNO Cawangan bermula 15 Ogos hingga 18 September 2022, Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 14, 15 dan 16 Oktober 2022 serta Perhimpunan Agung UMNO 23 hingga 26 November 2022.

Annuar seterusnya menambah, cabaran mendatang tetap ada apatah lagi menjelangnya PRU yang sudah pasti merupakan keutamaan untuk parti mencapai kemenangan kelak.

Katanya lagi kepelbagain pendekatan dan program amat penting dalam usaha menarik tumpuan serta menambah keyakinan masyarakat khususnya di Bahagian Merbok untuk membuat pilihan yang terbaik dengan memilih BN pada PRU nanti.

“Penumpuan untuk menarik sokongan pengundi baharu dan golongan muda dengan program-program yang bersasar diterima baik oleh Pemuda Merbok dengan pelan gerak kerja pemuda yang sangat hebat.

“Apa pun UMNO/BN sentiasa mendengar keluh kesah rakyat serta membantu dalam apa jua keadaan sejak daripada dahulu,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.