Persidangan UMNO Cawangan Untuk Perkukuhkan Solidariti, Catur Strategi Hadapi PRU Ke-15

KOTA KINABALU, 17 Ogos – Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara yang membuka tirainya pada 15 Ogos dan berakhir 18 September depan menjadi platfrom terpenting bagi parti politik terbesar Melayu/Bumiputera ini untuk memperkukuh solidariti dan mencatur strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata persidangan di peringkat cawangan ini merupakan medan yang amat penting bagi agenda pemperkukuhkan parti, justeru semua ahli perlu bersatu hati memberikan komitemen yang tinggi bagi menjayakan mesyuarat di peringkat cawangan.

“Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bermula 15 Ogos sehingga 18 September 2022.

“Pemimpin dan ahli parti di peringkat akar umbi perlu memahami persidangan kali ini merupakan medan yang amat penting untuk membincangkan agenda memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi PRU ke-15,” katanya dalam perutusan yang dikeluarkan di sini sempena bermulanya persidangan terbabit.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ahli parti perlu membulatkan tekad dan semangat dengan bersatu hati agar parti keramat UMNO sentiasa menjadi tunjang rakyat demi menjunjung kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta.

Bung berkata, berlatar belakang cabaran yang UMNO/Barisan Nasional (BN) lalui selepas kekalahan PRU ke-14 dan cabaran mendatang dari dalam dan luar parti serta pelbagai isu yang membelenggu rakyat, mesyuarat cawangan kali ini perlu menangani segala permasalahan untuk membentuk mentaliti menang bagi mengembalikan UMNO/BN ke era kegemilangan.

Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan turut menegaskan pentingnya semangat mentaliti menang ini dibentuk dalam kalangan anggota parti.

“Perkara yang penting sekarang dalam UMNO kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan, cakna kepada ahli di peringkat akar umbi dekati mereka, cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri anjurkan program yang boleh merapatkan hubungan silatulrahim di kalangan ahli,” tambah Bung.

Dalam pada itu Bung turut menyentuh persediaan PRU ke-15, yang katanya UMNO tidak boleh bergerak sendirian sebaliknya libatkan komponen BN yang ada di bahagian masing-masing walaupun bilangan ahlinya jauh lebih kecil dari UMNO namun penglibatan parti kompenan BN dalam konsep kerja berpasukan penting bagi mempastikan kemenangan pada PRU ke-15 akan datang.

“Seharusnya jawatankuasa BN sudah dibentuk dari sekarang di semua bahagian, jawatankuasa kerjanya sudah disusun, UMNO walaupun satu komponen terbesar di sesuatu bahagian tapi sumbangan parti lain dari kompenan BN perlu dilibatkan sama,” tegas Bung lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.