Bukan Retorik, Pentadbiran UMNO/BN Letakkan Keluarga Malaysia Di Landasan Tepat

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Laporan berkaitan pertumbuhan ekonomi yang berkembang 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini malah dilaporkan merupakan yang terbaik di Asia Tenggara adalah bukti kesungguhan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam menerajui kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, keupayaan pimpinan UMNO/BN yang diterajui Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) kini meletakkan negara berada di landasan yang tepat dengan mampu menangani krisis yang berlaku sebelum ini.

“Kita bukan mendabik dada tapi fakta nyata bahawa keupayaan pimpinan UMNO/BN terbukti apabila PM yang telah setahun menerajui negara berani mengambil langkah drastik dalam memperkenalkan inisiatif bagi membantu Keluarga Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau mengajak semua untuk membuat perbandingan antara parti-parti yang telah menerajui kerajaan.

“Kita ada BN yang dah lebih 60 tahun mentadbir, bawa kemajuan dan pembangunan tapi punah selepas Pakatan Harapan (PH) ambil alih selama 22 bulan dan disambung dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang penuh caca marba.

“Sekarang ini setahun BN kembali terajui semula kerajaan selepas pelbagai krisis dalam negara berlaku, krisis politik, krisis ekonomi, harga ayam, harga minyak dan macam-macam lagi namun Kerajaan Keluarga Malaysia perkenal dasar, ada langkah diambil dan tidak berdiam diri.

“Lebih dari itu PM tak suruh rakyat berkorban atau ikat perut sebaliknya ambil pendekatan-pendekatan yang boleh merangsang ekonomi dan menggerakkan pertumbuhan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pulih kembali,” katanya.

Tegas Norsabrina, sebagai wakil rakyat dari UMNO/BN beliau berbangga dengan pencapaian ini namun mengakui bahawa gerak kerja berterusan mesti dilaksana.

“Ini bukan noktah tapi permulaan untuk UMNO/BN mengembalikan negara kepada kestabilan dan pembangunan yang mapan. Kita mesti terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat.

“Tugas kita bukan hanya untuk pilihan raya semata-mata tetapi setiap masa malah UMNO/BN melunaskan amanah dengan penuh dedikasi iaitu menyelami permasalahan dan sedaya upaya menangani dan membantu sehabis baik,” katanya lagi.

Dilaporkan, pertumbuhan pesat ekonomi negara adalah hasil daripada keputusan kerajaan untuk membuka semula semua sektor dan sempadan negara, yang seterusnya memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.