Ahmad Bashah Pamer Sikap ‘Gentlemen’… Mukhriz, Sanusi Hentikan Berpolitik Berlagak ‘Hero’ Gunung Inas!

1. Mantan-mantan Menteri Besar Kedah sudah pun bersuara. Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah bersuara. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah juga telah mengesahkan tiada sebarang salah laku dikesan dalam projek ladang durian di Gunung Inas, Baling, oleh Kerajaan Negeri Kedah sebelum 2019.

2. Hakikatnya, ketika Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengambil alih Kerajaan Negeri Kedah, sebahagian dari Gunung Inas telah gondol di”cuci mangkuk” dan terbiar. Penanaman pokok Musang King pula merupakan keputusan untuk menyelamatkan Gunung Inas dan mengikut garis panduan serta kebenaran agensi terlibat sehinggalah diarah berhenti untuk kajian semula.

3. Maka, sebahagian besar kawasan ‘gondol’ Gunung Inas kembali terbiar tanpa pemantauan. Pendapat saya, isu sebenar yang boleh menjadi punca bencana adalah pembalakan yang telah menggondolkan Gunung Inas, manakala ladang getah TLC, Musang King atau apa jua spesis pokok untuk penanaman semula bukanlah faktor!

4. Menyedihkan, sejak berlakunya tragedi banjir ‘kepala air’ di Gunung Inas, drama tuding menuding berlaku. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kononnya “mencuci dosa kerajaan lama”, namun beliau tidak pula pedulikan “dosa kerajaan hari ini”.

Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyalahkan Ahmad Bashah dan Musang King sedangkan ada dokumen dan jejak ketika zaman BNnya (MB kali pertama) dia meneruskan aktiviti pembalakan, dan tika zaman Pakatan Harapannya (MB kali kedua) dia meneruskan projek Musang King.

5. Semalam, mantan Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah tampil secara “gentleman”, mengakui pentadbirannya meluluskan ladang durian Musang King di Gunung Inas yang sedia gondol dan menegaskan tiada pembalakan baru berlaku.

Demi menyelamatkan Gunung Inas, komitmen ini diambil tika itu kerana kawasan berkenaan perlu dilindungi dan dibaik pulih segera tanpa mengenepikan prosedur kelulusan kerajaan dan kesan alam sekitar selain pulangan ekonomi kepada kerajaan.

Lebih menarik, tidak pula beliau salahlah sesiapa, sama ada Menteri Besar sebelumnya atau selepas dirinya.

6. Pada saya, inilah sikap bertanggungjawab dan kualiti pemimpin BN sebenar, tampil dengan pengakuan keputusan bersama penjelasan.

Yang patut kita persoalkan, kenapa selepas tragedi banjir ‘kepala air’ di Gunung Jerai, Sanusi sepatutnya mengambil iktibar dan belajar. Bukan hanya Gunung Inas, malah banyak lagi kawasan tinggi yang menjadi titik panas yang berisiko dilanda banjir puing di tanah Kedah ini.

7. Selaku Menteri Besar, Sanusi sepatutnya telah mengarahkan pemantauan ketat di lokasi-lokasi berisiko berkenaan terutamanya aspek keselamatan dan kesan alam sekitar.

Namun malang, setelah memberi arahan untuk hentikan penanaman, seolah Sanusi lepas tangan? Sebahagian besar kawasan gondol gunung inas kembali terbiar walaupun saranan agensi, penanaman semula mesti segera dilakukan.

Lebih menyedihkan, setelah berlakunya malapetaka ini, Sanusi mula mempolitikan tragedi Gunung Inas dengan episod mencari salah dan berlagak ‘hero’ malah kemuncaknya dengan drama airmata ‘dosa- dosa lama’ di depan rakyat terjejas!

8. Saya juga kecewa melihat Mukhriz yang ‘tumpang sekaki’ cuba berlagak hero menunding jari pula ke Ahmad Bashah sedangkan ketika menjadi Menteri Besar Kedah, beliau boleh saja hentikan ladang Musang King di Gunung Inas jika dilaporkan bakal membawa bencana.

Namun memilih untuk meneruskan projek durian ini dan Ironinya, beliau tambah lagi kawasan baru untuk dijadikan Ladang Musang King. Mujurlah beliau tidak merintis pula Ladang Ketum dan ‘Hemp’ di Gunung Inas!

9. Dalam Laporan KASA yang dinyatakan Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man, menjelaskan tentang sebuah kolam takungan pecah di ladang Musang King tersebut menjadi salah satu punca banjir.

Namun peliknya, luas kolam pula yang menjadi pertikaian Sanusi. Jika Ahmad Bashah mengambil inisiatif ladang Musang King untuk selamatkan Gunung Inas yang diratah gondol, inisiatif apakah yang diambil Sanusi untuk selamatkan Gunung Inas dan lain-lain lokasi berisiko selepas tragedi di Gunung Jerai?

10. Harapnya, Sanusi mahupun Mukhriz usahlah berdrama retorik lagi dengan menuding jari ke sana ke mari selepas ini. Usahlah berlagak bagai “telunjuk lurus, kelengkeng berkait”, bimbang juga jika telunjuk tertuding parti dan diri sendiri.

Seperkara lagi, carilah jalan penyelesaian yang tepat, tuntas dan holistik untuk isu ini demi masa depan negeri Kedah. Janganlah terlalu ego, membuat bising, suka bermain retorik dan akuilah dengan ikhlas jika ada kelemahan dan kesilapan kerajaan pimpinan masing masing. – UMNO ONLINE

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah
20 Julai 2022

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.