MB Kedah: Selepas Menangis Silalah Bekerja

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pentas politik Malaysia sudah beberapa kali dibanjiri air mata. Air mata politik oleh mereka yang mengaku dirinya pemimpin. Air mata yang kononnya tumpah kerana ihsan dan simpati pada rakyat dan masa depan negara.

Pada tahun 2002, Tun Mahathir menangis di pentas Perhimpunan Agung UMNO selepas mengumumkan meletak jawatan. Beliau menangis sekali lagi pada Mei 2018 dalam kempen PRU14 dengan mesej ‘Atuk dah tua’.

Pada Januari 2019, Dr. Maszlee Malik dari BERSATU (kini PKR) – yang sebelum itu dikecam kerana melantik dirinya sendiri sebagai Presiden UIAM sekali gus melanggar ikrar Pakatan Harapan yang mahu membebaskan universiti dari orang politik, – juga pernah menangis semasa menyampaikan amanat hari guru. Sebulan kemudian pada tahun yang sama, Salahuddin Ayub dari PAN juga dilaporkan menangis dalam satu majlis sambil membaca surat dan rintihan golongan petani.

Terdapat dua pemerhatian penting dalam siri-siri tangisan ini.

Pertama, nampaknya pemimpin Malaysia yang kerap menangis kesemua lelaki. Hampir tidak ada pemimpin wanita yang akan menangis di pentas awam kononnya terkenangkan rakyat.

Kedua, tidak apa-apa pun penambahbaikan polisi yang jelas dan berkesan dapat dilihat selepas segala tangisan itu dipentaskan kepada orang awam.

Terbaharu, YAB Menteri Besar Kedah pula dilihat menumpahkan air mata. Episod kali ini menyaksikan kesedihan beliau ke atas apa yang menimpa penduduk Baling susulan fenomena kepala air dan banjir besar. Bezanya, tangisan tersebut pantas disusuli dengan menuding kepada pihak lain sebagai punca masalah.

Sebagai rakyat Kedah dan orang awam, saya ingin menyatakan bahawa biar parti atau pihak mana pun mereka, yang diperlukan oleh rakyat sebenarnya bukanlah tangisan dan air mata pemimpin. Semua itu terlalu mudah untuk dilakukan.

Atas dasar itu, saya ingin menggesa dan menuntut YAB Menteri Besar Kedah untuk membuat beberapa tindakan yang wajar.

Pertama, MB Kedah mesti memberikan pendedahan / laporan penuh berhubung insiden Banjir Baling. Ini termasuklah memaklumkan secara telus dan lengkap tentang projek penebangan balak dan penggondolan bukit secara besar-besaran sejak awal dahulu sehinggalah kemudiannya ditukar menjadi tapak Ladang Rakyat. Tidak ada yang maksum apabila kita mencari yang terbaik untuk rakyat. Saya cadang YAB MB dan kerajaan negeri buat pendedahan penuh kronologi supaya rakyat boleh menilai. Tidak perlu sinis dan menunding jari. Walaupun kedapatan dan hasil pendedahan ini akan melibatkan kerajaan yang pernah diterajui oleh parti saya sendiri.

Kedua, menyatakan pelan dan tindakan susulan Kerajaan Negeri bagi memperkemas prosedur dan dasar agar perkara yang sama tidak berulang. Harus diingat, negeri Kedah sudah ditimpa bencana kepala air buat kesekian kalinya. Tidak menjadi apa-apa halangan sekiranya YAB MB mahu agensi dan jabatan terus-menerus menjadi peneraju, namun bagi saya perlu timbang tara tambahan, perlu ada pihak yang bebas yang mampu beri pandangan yang luar dari kebiasaan. Dan apa jua polisi kerajaan negeri berkaitan alam sekitar, perlu melalui tatacara dan kelulusan yang paling ketat

Ketiga, mengusahakan pampasan serta pakej bantuan yang lebih baik kepada semua mangsa berbanding sekadar sumbangan one-off yang tidak mencukupi.

Dan keempat, mengusahakan satu pelan ekonomi yang baharu kepada negeri Kedah agar penggondolan hutan dan pemanipulasian alam sekitar tidak lagi menjadi jalan keluar mudah kepada mana-mana pihak yang mentadbir negeri selepas ini. Perlu terokai sektor baru ataupun perbaharui persetujuan dan perjanjian baru bersama kerajaan pusat agar kawasan-kawasan penanaman padi tidak perlu diganti sekiranya ada alternatif teroka ekonomi yang lebih baik. Hakikatnya, negeri Kedah ini perlu mendapat pampasan tahunan daripada hasil daripada pengorbanannya sebagai negeri “Jelapang Padi”. Jesteru itu sumber negeri hasil daripada penebangan balak haruslah dengan segera dikurangkan.

Sesungguhnya yang diperlukan oleh rakyat adalah kebenaran. Yang diperlukan rakyat adalah solusi dan perubahan. Agar mereka tidak perlu melalui semua itu lagi. Dan agar, pemimpin mereka tidak perlu menangis lagi.

 

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.