Bukan Masa Sesuai Naikkan OPR, Beri Impak Besar Kepada Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan kebimbangan dengan ura-ura peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia.

Katanya meskipun peningkatan OPR sebanyak beberapa mata asas kelihatan kecil namun impaknya kepada rakyat adalah amat besar.

“Sesebuah keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi akan bertambah kos belanja bulanan mereka mungkin ratusan ringgit.

“Peniaga-peniaga termasuk industri-industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan akan terpaksa menaikkan harga-harga barang atau perkhidmatan mereka yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, justifikasi kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

Sebaliknya kata Dr Asyraf kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi penguncupan ekonomi negara tanpa menyalurkan beban tersebut kepada rakyat secara langsung.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan kadar faedah (OPR) kerana semua ini bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung.

“Banyak keluhan bahawa pendapatan rakyat dan perniagaan tidak banyak peningkatan, malah ramai yang berkurang semasa pandemik COVID 19. Maka sebarang peningkatan kos sara hidup atau kos operasi harian yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan pastinya menyebabkan kadar inflasi meningkat, termasuklah peningkatan OPR,” ujar beliau.

Tambah beliau hakikat yang dirasai ketika ini adalah Malaysia sedang dalam proses peralihan fasa endemik di mana seluruh negara termasuk industri, peniaga-peniaga dan semua rakyat sedang bangkit semula memperbaiki keadaan ekonomi mereka.

“Isu kenaikan kos sara hidup harian sudah mula dirasai oleh ramai rakyat termasuk kebimbangan oleh berita-berita kemungkinan penarikan subsidi, pengapungan harga serta ketidakcukupan bekalan barang-barang keperluan harian.

“Tuntasnya, peranan kerajaan pada waktu ini adalah sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik.

“Sebaiknya Kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur, menggalakkan pelaburan, memudahkan urusan dan prosedur perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.