Perbandingan RoS Masa PH Berkuasa Dan Menterinya Dari PPBM – Puad

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meluahkan kekeliruan beliau ekoran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang masih belum memberikan keputusan mengenai pindaan Perlembagaan UMNO.

Beliau malah membandingkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyaksikan parti itu diluluskan pendaftarannya dalam masa seminggu semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

“RoS lulus pendaftaran PPBM dalam tempoh seminggu semasa PH berkuasa. Permohonan UMNO untuk pinda perlembagaan parti pula masih belum lulus kerana menterinya dari PPBM?

“Pada 17 Mei 2018 iaitu seminggu selepas PH berkuasa, RoS meluluskan pendaftaran PPBM yang sebelum itu digantung sementara. Penggantungan dibuat kerana PPBM gagal kemuka minit mesyuarat cawangan, bahagian dan laporan penyata kewangan.

“Pelik, bagaimana PPBM boleh mengadakan Perhimpunan Agung sedangkan Cawangan dan Bahagian tidak bersidang? Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku PPBM tidak dapat memenuhi dua perkara dituntut ROS, iaitu laporan mesyuarat Cawangan dan Bahagian parti itu,” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu pada Mei, UMNO telah menghantar surat kepada RoS berkaitan pindaan Perlembagaan UMNO yang telah dibuat.

Pindaan tersebut diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.