PEMBELA Felda Beri Cadangan Atasi Masalah Kekurangan Bekalan Minyak Masak Bersubsidi

SEGAMAT, 3 Julai – Pertubuhan Kebajikan Pembela Warga Felda Malaysia (PEMBELA Felda) membawa hasrat dan keresahan rakyat terutamanya warga Felda seluruh negara mengenai kenaikan harga minyak masak di pasaran dan ketiadaan bekalan minyak masak paket bersubsidi di rancangan tersebut di seluruh negara.

Kata Pengerusinya Anuar Abd Manap, keputusan kerajaan menarik semua subsidi minyak masak dalam botol menyebabkan harga minyak masak dalam botol melonjak naik dan memberi tekanan dan beban kepada rakyat khususnya golongan warga Felda yang tinggal di luar bandar.

“Felda dan Felda Global Ventures (FGV) merupakan pengeluar minyak sawit utama negara yang selama ini menyumbang kepada ekonomi negara melalui hasil cukai dan pendapatan kepada kerajaan.

“Warga Felda khususnya yang tinggal di rancangan Felda seharusnya diberi keutamaan dalam isu kekurangan pembekalan minyak masak paket bersubsidi di kawasan rancangan Felda,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, PEMBELA Felda mendesak dan mencadangkan kepada kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar memberi perhatian khusus terhadap masalah ini melalui beberapa cadangan.

“Kerajaan melalui kementerian terlibat perlu menambah kuota pengeluaran minyak masak paket bersubsidi kepada Felda dan FGV bagi menampung keperluan warga Felda di rancangan berdasarkan jumlah penduduk dan keluarga peneroka masa kini.

“Kerajaan perlu segera menarik balik kuota minyak masak bersubsidi daripada syarikat yang tidak mampu membekal dan mengeluarkan minyak masak paket bersubsidi mengikut kuota yang diberikan kerajaan.

“Kerajaan perlu membenarkan Felda dan FGV menjual minyak masak paket bersubsidi secara terus kepada warga Felda melalui koperasi Felda atau kedai-kedai Dmart di rancangan Felda tanpa melalui pemborong berlesen bagi mengelakkan bekalan minyak masak bersubsidi diseleweng dan dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan subsidi minyak masak dari kerajaan,” jelasnya.

Justeru katanya, PEMBELA Felda mendesak kerajaan memberi keutamaan dan perhatian kepada cadangan yang diberikan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian warga Felda di seluruh Malaysia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.