Maruah Dan Perjuangan UMNO Jadi Keutamaan Untuk Dipertahan – Zahid

SUNGAI BESAR, 3 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak akan berputus asa memastikan parti keramat ini berterusan membawa agenda perjuangan kepada rakyat.

Katanya, kepentingan UMNO menjadi fokus meskipun beliau pernah ditekan untuk membubarkan parti termasuk situasi beliau ketika ini yang berhadapan pendakwaan di mahkamah.

“Saya diugut untuk lompat, bubarkan UMNO semua orang tahu, dia kata mana ada bukti sedangkan dia bukan sahaja pernah berkata di media malah saya ada videonya nanti di mahkamah akan dikeluarkan.

“Ditakdirkan jika ikut ketika itu atau setuju untuk bubarkan UMNO, saya tidak akan menghadapi satu pun pertuduhan tapi hanya kerana menjaga maruah dan kepentingan UMNO saya terpaksa membayar harga yang mahal.

“Apa yang saya hadapi bukan kerana saya buat salah tetapi demi pertahankan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Pemantapan Jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Wangsa Maju yang diadakan di Sekin Fisherman Village Hotel Dan Resort di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dan kepimpinan lain.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sementara itu ketika ditemui pada sidang media menyambut baik persediaan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang proaktif dalam melaksanakan gerak kerja menuju PRU15.

“Kesiapsagaan BN dan UMNO Wangsa Maju adalah suatu daya usaha yang memperlihatkan bahawa mereka sangat komited berdasarkan kepada solidariti dan juga persediaan jentera.

“Saya amat yakin di bawah kepimpinan Dr Shafie di samping dokongan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri serta jawatankuasa empat peringkat bagi memastikan usaha mereka memberikan keberhasilan kemenangan.

“Saya lihat tentunya potensi tersebut berdasarkan kepada calon parti mana yang akan mewakili BN dan yakin jika rundingan serta soal penyelesaian kepada kerusi-kerusi itu diberikan kepada parti yang mempunyai daya keboleh menangan yang tinggi tentunya Wangsa Maju akan dapat menambah bilangan kerusi kepada BN bagi membentuk kerajaan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.