BN Sabah Suatu Entiti Baharu, Kesinambungan Kuasa Autonomi UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 2 Julai – Barisan Nasional (BN) Sabah kini adalah suatu entiti baharu yang akan menggabungkan beberapa parti politik di negeri terbabit iaitu parti-parti politik yang mahu bersama BN Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi yang turut dihadiri oleh pengerusi BN Sabah dan para pemimpin BN negeri.

“Saya ingin menyatakan bahawa 20 November 2020 Dewan Tertinggi BN telah memutuskan supaya BN Sabah dikenali sebagai BN Sabah dan beberapa perkara dalam Perlembagaan BN Malaysia telah memperuntukkan beberapa klausa.

“Dalam perkara yang berkaitan BN Sabah untuk meletakkan BN Sabah sebagai suatu entiti yang akan menggabungkan beberapa parti politik di negeri Sabah yang mahu terus bersama-sama BN, iaitu selain daripada parti teras di Sabah iaitu UMNO dan PBRS bagi membentuk BN Sabah.

“Ini akan di bawa ke Dewan Tertinggi BN Malaysia untuk kita lakukan pengabsahan,”katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata demikian dalam sidang media selepas Konvensen BN Sabah yang berlangsung hari ini, di sini.

Jelas Ahmad Zahid, tujuan diadakan sedemikian adalah berikutan daripada pindaan Perlembagaan UMNO sendiri yang telah memberikan autonomi kepada UMNO Sabah.

“… dan untuk memberikan kesinambungan terhadap kuasa autonomi itu, BN Sabah diwujudkan biarpun BN Sabah tidak setaraf autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah namun di dalam hal ini Pengerusi BN Sabah dan kepimpinan BN Sabah yang lain dapat menyusun beberapa langkah.

“Ini kerana landskap politik dan situasi politik di Sabah sangat dinamik, maka sebarang perubahan yang sedang dan akan berlaku akan dipersesuaikan oleh BN Sabah.

“Saya dan Tok Mat (Mohamad Hasan) sebagai Timbalan Pengerusi BN akan terus memantau terhadap perkembangan-perkembangan terbaharu di dalam kedinamikan politik Sabah.”

Jelasnya, BN telah menyusun selepas konvensyen ini untuk pemimpin-pemimpin BN pusat bersama BN Sabah untuk turun ke enam zon BN Sabah bagi memantapkan jentera pilihan raya BN Sabah.

“Saya yakin tentunya selain PBRS ada MCA dan MIC Sabah, saya ingin menyebutkan bahawa terdapat empat buah parti mohon sertai dari BN Malaysia.

“Bahawa dengan kebangkitan semula BN ini dan dengan permohonan parti-parti lain memperlihatkan bahawa kita sedang menyusun semula organisasi BN dan disesuaikan dengan landskap politik Sabah. Apa saja perkembangan berlaku mengambil kira BN Sabah.

“Untuk BN Sabah, kita pinda salah satu klausa dalam Perlembagaan BN Malaysia untuk dipersesuaikan dengan meletakkan BN Sabah sebagai suatu entiti khas. Bukan autonomi dan calon-calon ahli Parlimen masih tertakluk kepada BN diperingkat pusat.”

Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa BN akan memperincikan hala tuju itu sekali dengan ‘new deal’ dan ‘new offer’ dengan BN Sabah.

“BN Sabah merupakan entiti baharu. Saya yakin Manifesto BN Sabah akan sedikit berbeza kerana kita sesuaikan dengan akujanji pilihan raya bilapun ia dilaksana sesuai dengan kehendak penguindi.

“Ini dibiarkan kepada BN Sabah sendiri kerana dinamik politik di Sabah perlu diambil kira. Kita perlu lebih berhati-hati dan yakin rakyat akan kembali kepada BN,” katanya lagi.

Berkaitan hal ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan bahawa perbincangan serta rundingan berkaitan hal terbabit masih berjalan.

“Kita akan turun ke bawah dan rundingan sedang berjalan. Kalau kita kuat maka orang akan hormati rundingan kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.