BN Lebih Realistik, Optimis Pastikan Sabah Berada Pada Tahap Lebih Baik

KOTA KINABALU, 2 Julai – Barisan Nasional (BN) lebih realistik dan optimis dalam memastikan Sabah berada pada tahap lebih baik pada masa akan datang.

Justeru, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa semua anggota parti mesti bersama-sama rakan kongsi di Sabah dalam memastikan BN menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan seterusnya mentadbir negara.

Katanya, sejak kekalahan BN, beliau secara peribadi amat prihatin dengan perkembangan pembangunan Sabah.

“Semua yang dirancangkan telah terbantut apabila BN tewas pada tahun 2018. Antara yang utama, pada waktu itu adalah, BN telah memulakan pembinaan Pan-Borneo Highway.

“Lebuh raya ini dirancang untuk menjadi nadi utama kepada pembangunan Sabah, dengan menyambungkan sebanyak mungkin penempatan penduduk bagi membolehkan mereka untuk turut serta dalam kepesatan ekonomi negara.

“Kita hubungkan Sindumin ke Simpang Mengayau di Barat, dan kita hubungkan Ranau dengan Tawau di Timur. Pan-Borneo Highway adalah pembangunan untuk mensejahterakan rakyat Sabah. Malangnya projek ini telah diganggu oleh Kerajaan 22 bulan,” katanya.

Jelaslah katanya, bahawa tanpa kestabilan, ekonomi sukar berkembang dan mencari rezeki tidak senang, malah hidup rakyat tidak tenang.

“Saya percaya sekiranya BN menjadi dominan dan membentuk Kerajaan semula, kita akan mulakan dengan memberi fokus yang lebih kepada menyambung semula pembangunan ekonomi yang terkandas sejak 2018.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Konvensyen BN Sabah yang berlangsung sehari, hari ini melibatkan jentera parti dari seluruh negeri terbabit.

Ujar Ahmad Zahid, antara perkara yang BN akan beri fokus jika menang lebih besar di Sabah dan membentuk Kerajaan Persekutuan adalah, pertama, melihat semula kaedah peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri, terutama sekali Kerajaan Negeri Sabah.

“Buat masa ini, peruntukan Persekutuan yang diberikan kepada negeri-negeri adalah mengikut jumlah per kapita penduduk negeri tersebut dan melalui agensi-agensi Persekutuan.

“Ini bererti, negeri-negeri yang tidak ramai penduduknya akan mendapat peruntukan lebih kecil. Meskipun sistem ini berjaya membangunkan Malaysia pada zaman awal merdeka, ianya tidak lagi berkesan pada waktu sekarang, kerana kita mempunyai banyak cabang atau aspek pembangunan, dan semestinya perlu diubah.

“Jika BN menguasai dan mentadbir Kerajaan Persekutuan insya-Allah, perkara itu akan kita laksanakan, dan saya berjanji, Sabah tidak akan ketinggalan.”

Kedua, katanya, BN akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu rakyat yang mendesak yang telah lama berlarutan di Sabah dengan segera termasuklah isu perkhidmatan internet jalur lebar, infrastruktur asas dan isu akses kepada pendidikan antara lainnya.

“Kita perlu yakinkan rakyat bahawa BN bukan sahaja mahu memajukan negeri pada jangka masa panjang, tapi jika rakyat mengundi BN untuk menjadi kerajaan semula, kestabilan akan dicapai, dan kestabilan akan memudahkan kerajaan memberi fokus kepada peningkatan sosio ekonomi yang lebih baik. BN menang, negeri tenang, rakyat senang. Itulah misi kita.

“Ketiga, Sabah perlukan agenda pembangunan baharu untuk menjadi lebih maju. ‘Sabah Maju Jaya’ akan kurang ‘berjaya’ jika tiada agenda pembangunan baharu untuk ditawarkan kepada rakyat negeri ini.

“Jika BN diberi kepercayaan di Sabah dengan mandat yang besar, dan jika BN diberi mandat di Pusat, kita akan memberi tumpuan kepada dua perkara besar sebagai agenda pembangunan baharu Sabah.”

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengajak semua untuk bulatkan tekad, satukan hati, dan tetapkan pendirian bahawa yang paling utama adalah BN.

“Yang harus dimenangkan adalah BN, yang akan menjadi sandaran rakyat adalah BN,” katanya lagi yang mengakhiri ucapan dengan laungan ‘Radu Tatap Radu’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.