Kekalkan Kadar OPR, Usah Bebani Lagi Rakyat Yang Sedang Merana

RAMAI yang mengeluh apabila menerima surat bank untuk menaikkan kadar faedah/keuntungan yang meningkatkan jumlah ansuran bulanan bagi pinjaman yang dibuat oleh rakyat.

Hakikatnya kadar kenaikan ini pasti menjejaskan rakyat tidak kira yang bekerja swasta apatah lagi yang bergaji tetap dengan kerajaan.

Sudahlah barangan keperluan asas meningkat, pertambahan bayaran pinjaman bank pastinya mengurangkan kuasa beli rakyat akibat menipisnya wang di poket dan di tangan.

Ya! Dalam pendekatan ekonomi konvensional, salah satu cara untuk menurunkan inflasi adalah dengan menaikkan kadar faedah (OPR).

Dengan harapan kenaikan ini akan meningkatkan kemasukan pelaburan domestik dan asing (FDI dan DDI) kerana secara teorinya pelabur akan lebih berminat membeli pelbagai instrumen kewangan di pasaran kewangan yang menawarkan kadar faedah/keuntungan yang tingggi.

Persoalannya,

1. Apakah benar dalam konteks negara kita ketika ini, menaikkan lagi kadar faedah (OPR) membawa manfaat kepada rakyat?

2. Apakah benar ada kenaikan FDI secara mendadak selepas kenaikan OPR?

3. Apakah ada pertambahan pembelian saham runcit di Bursa Malaysia atau penigkatan pembelian saham oleh pelabur asing atau KLSE Index telah meningkat mendadak sejak OPR dinaikkan?

4. Apakah jumlah permohonan pinjaman dengan bank tempatan berkurang secara mendadak selepas OPR naik?

5. Apakah jumlah deposit tetap (FD) di semua bank dalam negara meningkat secara mendadak selepas OPR naik?

Yang jelas tiada peningkatan besar berlaku kerana hakikatnya pelbagai laporan ekonomi menunjukkan bahawa pelabur sebenarnya MENANTIKAN TARIKH PILIHAN RAYA UMUM (PRU) bagi mendapatkan kepastian kerajaan yang mutlak dan dasar baharu pasca PRU15.

Tangguhkan dahulu kenaikan bagi memastikan harga barangan keperluan harian lebih stabil.

Jangan nanti kita menambah beban lagi rakyat dengan pendekatan ekonomi konvensional hingga masalah lain yang lebih besar seperti ‘stagflation’ pula tertimpa! – UMNO ONLINE


Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.