UMNO Nak Pilih Jalan Mana?

Berikutan pendedahan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO TYT Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman. Ramai yang sedang memberi komentar dan spekulasi tentang keadaan dalaman parti UMNO.

Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan-dakwaan tersebut adalah pihak lawan. Segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO. Naratif lawan akan jadi mudah – “bagaimana UMNO hendak jual kestabilan kalau dalam UMNO sendiri tak berpadu?”

Satu hari ada pihak kata PM lemah. Sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

Hari lain pula ada pihak kata Presiden liabiliti dan lemah juga. Sedangkan lemah macam mana kalau dah memimpin kejayaan 7-0 dalam pilihanraya?

Hari-hari adu domba dan mesej tular melabel si polan kluster Putrajaya, si polan kluster PWTC. Spekulasi tak henti-henti yang ini akan kena pecat yang itu akan kena pecat. Yang ini akan jadi calon yang itu takkan jadi calon. Ada yang tembak Presiden ada yang tembak PM. Cybertrooper Umno digerakkan untuk serang orang Umno sendiri.

Lawan tepuk tangan. Ahli keliru.

Cerita lama tak perlu diungkit dan ditokok tambah. Hadir dalam mana-mana perjumpaan tak semestinya bermakna menyokong apa-apa gerakan. Presiden sendiri lebih tahu dan sudah lama tahu tentang hal ini dan biarlah beliau yang mengadili.

PAU, PAU Khas, Konvensyen BN sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihanraya. Parti dah buat keputusan. Presiden dan Timbalan jaga parti, PM jaga Kerajaan. Bergerak seiring. Soal lantikan MKT, hak Presiden. Presiden menang bertanding, hak institusi itu mesti dihormati.

Soal lantikan Kabinet, biar PM uruskan. Tiada keperluan pertikai persoal terbuka dan menambah perasa. Beliau Naib Presiden, beliau “poster boy” yang telah direstui dan diputuskan oleh Presiden, Timbalan, MKT dan umumnya, parti. Tak perlu timbulkan curiga. Takkan orang UMNO rasa elok nak lemahkan PM dan calon PM sendiri?

Pemilihan selepas PRU. Tarikh PRU top 5 bincang, bawa ke MKT, kemudian “on”. Tak perlu gaduh, atau syak wasangka.

Kalau boleh berpegang kepada semua ini, ahli tenang, UMNO menang.

Nak pilih yang mana ayahanda semua?

Parti ini parti yang sepatutnya di ambang kemenangan.

Takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan.

Pilih kesepakatan. Pilih kestabilan.

#KesetiaanDanKestabilan
#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.