Kenapa Rafizi Tak Kemuka Formula Waktu PH Dulu?

Kalau ada idea yang baru atau logik, kami sedia mendengar.

Baru-baru ini Saudara Rafizi Ramli mengkritik cadangan UMNO bagi menangani kenaikan kos harga ayam. Saya rasa bagus bila ramai ahli politik ambil berat isu besar ini.

Cuma saya harap kalau boleh, idea yang diberi itu idea yang baru, atau idea yang logik. Kalau boleh.

1. Saudara Rafizi cadang supaya diwujudkan stok penimbal. Bila ada stok penimbal, stok ini boleh disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak, seperti sekarang.

Saya setuju, dan perkara ini dah dibuat pun. Bila ia dibuat? Pada 23 Mei 2022, Kerajaan di bawah YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan keputusan untuk mewujudkan stok penimbal melalui fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Logik yang sama seperti Rafizi. Yang buat adalah Kerajaan hari ini cuma kejayaan idea ini ambil masa. Lain lah kalau idea ini dibuat pada tahun 2018 atau 2019, semasa Kerajaan PH, tetapi tidak dibuat. Itu yang saya maksudkan, kalau boleh, bagi idea yang baru.

2. Rafizi juga mencadangkan penggunaan ‘futures’ sebagai ‘hedging’ ketika berlakunya kenaikan mendadak kos dedak ayam.

“Futures” adalah sejenis instrumen kewangan yang membolehkan pembeli membeli aset yang mendasari “futures” tersebut pada masa hadapan dengan harga yang telah disepakati hari ini. Dalam erti kata lain, beli awal, “lock” harga, supaya jika harga semasa naik, kita bayar harga lama yang lebih rendah.

Mengikut cadangan Rafizi, Kerajaan boleh beli “futures” kacang soya (dedak) supaya kelak bila tiba waktunya, Kerajaan boleh kemudiannya menebus “futures” dan membeli kacang soya pada harga berpatutan.

Soalnya, betul ke harga yang dibeli akan lebih berpatutan?

Jawapannya, tidak.
“Futures” adalah sejenis instrumen yang harganya bergantung kepada aset yang mendasarinya.
Dalam keadaan harga dunia kacang soya dan jagung sedang mahal, sudah tentulah “futures”nya juga sedang mahal. Saya bagi beberapa contoh.

i) Corn futures: Pada April’22, harganya adalah USD8 segantang. Tertinggi dalam tempoh 10 tahun. (Kalau buat zaman PH dulu, serendah USD3.38)

ii) Soybean futures: Harganya USD18 segantang. Tertinggi dalam setengah abad. (Kalau buat zaman PH dulu, serendah USD7.94)
Nota: harga di dalam gambar di bawah adalah bagi 100 gantang.
Pendek kata, kalau beli ‘futures’ tu sekarang pun, ia sudah mahal. Lain lah kalau ‘futures’ itu dibeli 3-4 tahun dahulu, sewaktu zaman PH memerintah. Itu yang saya maksudkan, kalau boleh, beri idea yang baru atau logik.

3. Kritikan terhadap penubuhan Lembaga Unggas Negara.
Rafizi mengkritik sinis cadangan ini kerana kononnya selepas diwujudkan Lembaga Unggas, akan wujud juga Lembaga Kambing, Lembu, Kerbau dan sebagainya.

Kesinisan ini tidak mengambil kira kepentingan strategik food security daging ayam yang sekian lama merupakan sumber protein termurah bagi rakyat Malaysia. Kadar kecukupan mandiri (self-sufficiency level) pengeluaran ayam adalah menghampiri 100%. Kita adalah negara ketiga di dunia yang paling kuat makan ayam, sebanyak 46.7kg per kapita.

Kenaikan harga ayam baru-baru ini adalah kerana walaupun SSL ayam hampir 100%, dedak yang digunakan sebagai makanan ayam hampir kesemuanya masih diimport. Mengikut MAFI, dedak mewakili 74% kos penternakan ayam.

Saya faham kalau tak setuju mekanisme pelaksanaan, tetapi harap tidak diperlekeh usaha untuk selesaikan isu ini secara jangka panjang. Malah saya percaya, Lembaga ini lah nanti yang akan terbuka mengumpul idea-idea, malah mungkin idea dari Rafizi sendiri.

Malaysia adalah sebuah ekonomi yang kecil dan mengamalkan perdagangan terbuka. Ini bermakna sebarang external shocks akan sedikit sebanyak memberi kesan. Sebab itu kerajaan dah umum pelbagai bantuan dan mekanisma hampir setiap minggu.

Unjuran perbelanjaan subsidi yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion (termasuk lain-lain subsidi seperti kepada nelayan dan petani serta segala bantuan kebajikan termasuk Bantuan Keluarga Malaysia) bagi tahun 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana Kerajaan. Angka ini terlalu jauh meninggalkan perbelanjaan subsidi pada tahun-tahun sebelumnya:
2018: RM8.3 bil
2019: RM7.3 bil
2020: RM2.7 bil
2021: RM16.5 bil
2022(unjuran): RM77.3 bil

Kalau Rafizi ada formula lebih baik untuk selesai masalah, pihak Kerajaan sangat-sangat terbuka untuk mendengar. Ini masalah yang kompleks yang tidak 100% peratus di bawah kawalan kita. Isu ini beri impak kepada kehidupan harian rakyat. Maka segala idea, terutamanya idea yang baru dan logik, amat dialu-alukan.

Seperti yang dikatakan oleh Dato’ Seri Presiden UMNO Dr. Zahid Hamidi. Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan mereka. Rakyat tidak kisah tentang formula.


SHAHRIL HAMDAN
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.