Tuntutan Sebidang Tanah Dengan Kedaulatan Sesebuah Negara Amat Signifikan – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 25Jun –  Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor beranggapan Tun Mahathir tidak memahami makna dan signifikan tuntutan sebidang tanah dengan kedaulatan sesebuah negara.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berpandangan  dalam satu kenyataan, walaupun beliau beranggapan Pulau Batu Putih atau Pedra Branca hanyalah sebesar meja, tetapi Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpendirian tanah sebesar meja itulah lambang kedaulatan dan amatlah malang jika tiada usaha untuk memperjuang atau menuntutnya.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan di Facebook beliau  menafikan apa yang beliau sebut dalam satu kongres pada Ahad lalu berkaitan tuntutan terhadap Singapura dan Kepulauan Riau.

“Dalam penafiannya, beliau menyalahkan laporan media dan menegaskan tidak pernah meminta supaya Malaysia menuntut semula kedua-dua wilayah tersebut.

“Beliau juga menambah kenyataannya ketika itu mahu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya di Johor begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah menuntut bahagian yang lebih besar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata  Tun Mahathir juga mendakwa kehilangan Pulau Batu Puteh adalah kesilapan kerajaan Johor dan menafikan bahawa pulau itu adalah milik Johor dan kata beliau sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang.

Persoalannya di sini, tambah Hairi jika benar pun kerajaan Johor sebelum ini membuat penafian berkenaan status pulau itu, adakah satu ‘dosa besar’ kerajaan Johor atau Persekutuan hari ini membuat tuntutan dan semakan jika ada dokumen atau bukti sokongan yang boleh diguna pakai atau mencabar keputusan sebelum ini?

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap bekas Perdana Menteri ini tidak lagi mengeluarkan alasan atau berdolak dalih tentang tindakannya membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman Pulau Batu Puteh.

“Pada masa sama Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor tetap dengan pendirian dan menjunjung titah ucapan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahukan semakan dan pentafsiran penghakiman perlu diteruskan demi mendapatkan semula kedaulatan Johor,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.