Tidak Benar Pelbagai Spekulasi Yang Timbul Berkaitan UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pelbagai spekulasi yang keluar berkaitan UMNO adalah tidak benar sama sekali dan hanya sekadar untuk memecah-belahkan kesepakatan di dalan parti berkenaan.

Bendahari UMNO yang juga Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebarang keputusan akan keluar secara rasmi menerusi saluran yang sepatutnya.

“Malam tadi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Alhamdulillah berjalan lancar dan penuh dengan tertib. Organisasi parti memang jadi keutamaan, semuanya baik-baik saja.

“Tak benar spekulasi macam-macam yang bertebaran di luar. Apa-apa keputusan hanya akan keluar secara rasmi dan janganlah percaya pada manipulasi pihak tertentu yang sengaja nak pecah-belahkan kesepakatan dalam UMNO.” katanya dalam catatan menerusi Facebook beliau, di sini hari ini.

Tengku Adnan seterusnya mengingatkan bagaimana budaya fitnah dan sebagainya lagi menyebabkan parti tumbang.

“Ingatlah dahulu kita tumbang kerana fitnah dan macam-macam spekulasi yang bertebaran,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Isham Jalil yang dilantik sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.