Jalan Terbaik Pulihkan Negara Dan Kestabilan Politik Melalui Demokrasi

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya rakyat menaruh harapan tinggi kepada parti itu untuk memulihkan negara dan mengembalikan kegemilangan lalu.

Katanya jalan terbaik untuk memulihkan negara dengan mewujudkan kembali kestabilan politik melalui proses demokrasi.

“Menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memperbaiki kemakmuran yang telah dirosakkan sejak 9 Mei 2018.

Dengan demikian UMNO perlu sederap mara ke hadapan demi aspirasi rakyat terhadap parti keramat agama, bangsa dan negara.

“Justeru, kesetiaan dan kebersamaan sehati sejiwa para pimpinan dan akar umbi UMNO adalah paling mustahak. UMNO telah membuat ketetapan secara kolektif mengenai hala tuju terbaik untuk PRU-15 pada beberapa perhimpunan agungnya.” katanya.

Katanya lagi, parti ini harus fokus kepada perancangan yang telah pun direncanakan melalui suara majoriti akar umbi serta pimpinannya dan sebarang elemen yang mahu merencatkan haluan atas pendirian yang mencurigakan sukar untuk dikompromi.

“Sebagai Presiden UMNO, tentunya menggalas amanah besar untuk meneruskan apa yang telah diputuskan dan ditetapkan oleh parti. Bukan untuk kepentingan mana-mana pihak atau individu, sebaliknya demi masa depan rakyat, negara dan parti UMNO,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.