BKM Bukti Perdana Menteri Prihatin, Cakna Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO atas keprihatinan menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau pada masa sama mengharapkan kerajaan supaya memperhalusi aspek-aspek tertentu terutama bantuan yang disalurkan kepada rakyat perlu lebih menyeluruh.

“Kita mulakan dengan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang memang dekat dan merasai denyut nadi rakyat namun mungkin perlu diperhalusi untuk penambahbaikkan dari segi bantuan ini.

“Namun jika dilihat BKM zaman beliau adalah paling tinggi dalam kepimpinan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi UMNO Online hari ini.

Din malah melontarkan cadangan untuk kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melipatgandakan pemantauan dan bersungguh-sungguh dalam kalangan peniaga bagi mengekang kenaikan harga terutama keperluan asas di pasaran.

“Saya usulkan untuk penguatkuasaan dilakukan dengan lebih baik agar tiada peniaga yang sewenang-wenangnya naikkan harga agar lebih efektif dan tidak nampak Perdana Menteri bersendirian,” katanya.

Terdahulu pada Rabu, kerajaan mengumumkan tambahan bayaran tunai sehingga RM100 yang akan disalurkan menerusi BKM.

Perdana Menteri berkata, tambahan RM100 adalah bagi penerima kategori isi rumah, manakala RM50 kategori bujang.

Bayaran tersebut memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juta golongan isi rumah, 1.2 juta warga emas, bujang dan tiada pasangan serta 3.4 juta individu bujang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.