PH Tiada Pemimpin Kredibiliti, Kekalkan Anwar Calon Perdana Menteri Strategi Terdesak

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Datuk Azley Yahya berpandangan Pakatan Harapan (PH) ketandusan idea dalam memilih calon berkredibiliti sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ini kerana mengekalkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi jawatan nombor satu negara itu seperti terdesak.

“Kita sudah sedia maklum perkara ini yang mana kita tahu bahawa PH ketandusan calon mereka terpaksa meletakkan Anwar dengan harapan pengundi akan terpengaruh dengan sosok tubuh itu.

“PH tiada poster boy yang berkaliber selain daripada Anwar malah mereka juga dilihat seperti tidak ada strategi lain untuk memenangi PRU15 nanti kerana kesempatan mereka semasa memerintah pada penggal ini telah disia-siakan dengan janji-janji palsu.

“… ianya menyebabkan negara hampir musnah, saya percaya rakyat kini sudah sedar dan akan berubah fikiran mengundi Barisan Nasional (BN) untuk kerajaan yang lebih stabil pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Terdahulu, Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi PH, perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang berkata, ketetapan itu masih tidak berubah hingga kini dan dipersetujui semua parti-parti komponen.

Mengulas lanjut, Azley malah meluahkan harapan supaya muka baharu terutama golongan muda diberikan kepercayaan untuk diketengahkan sebagai calon pada PRU15.

“Persediaan sudah lama dilakukan untuk berdepan dengan PRU pada bila-bila masa malah Pemuda berharap calon-calon muda diberikan peluang.

“Muka-muka baru mesti ditampilkan bagi memberi harapan kepada rakyat terutama bila pengundi 18 layak untuk memangkah kertas undi pada PRU nanti.

“Dengan itu, kami telah menjalankan pelbagai program bertemu masyarakat dan mengaktifkan potfolio-potfolio jentera pilihan raya yang bakal tiba,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.