Karnival Kerjaya: Pemuda BN Terus Jadi Jambatan Kepada Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN)  yang diadakan secara kebetulan selepas pandemik COVID-19 diharap dapat membantu mereka yang kehilangan sumber pendapatan termasuklah belia dan anak muda yang mencari peluang pekerjaan.

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pandemik yang melanda negara sebelum ini telah menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan termasuklah mereka yang dibuang kerja dan sebagainya.

“Pandemik lalu menyaksikan ramai kalangan anak muda serta belia yang berdepan dengan masalah sama ada dibuang kerja atau hilang punca pendapatan selain menyebabkan negara berdepan masalah pengangguran.

“Justeru Pemuda BN mengambil inisiatif untuk mengadakan program karnival kerjaya pada kali ini bagi menjadi jambatan atau penghubung antara majikan dan kalangan agensi kerajaan di bawah kementerian-kementerian sumber manusia serta syarikat konglomerat dan pelbagai syarikat swasta dengan mereka yang mengintai peluang pekerjaan di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Karnial Kerjaya Pemuda BN yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Turut serta Pengarah Program, Datuk Lassim Burhan; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pimpinan BN lain serta wakil-wakil syarikat yang terlibat sepanjang karnival berkenaan.

Karnival Kerjaya Pemuda BN bermula hari ini sehingga Ahad di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pelbagai syarikat serta agensi menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mencari pekerjaan.

Dr Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah hubungan yang telah terjalin dikalangan syarikat swasta serta agensi dan pelbagai kementerian diharap akan dapat memberi manfaat yang cukup besar kepada mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan.

“Insya-Allah karnival selama tiga hari yang bermula pada hari ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya dapat menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Karnival ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tetapi juga turut menyediakan peluang kepada anak-anak muda untuk lebih mengetahui  apakah bentuk panduan serta sokongan yang ada yang ditawarkan oleh kerajaan serta agensi swasta yang lain dalam konteks pembiayaan bagi mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan samaada secara kecil-kecilan dan sebagainya.

“Kita juga menyediakan bengkel latihan serta kemahiran klinik bagi anak muda untuk menyiapkan resume mereka bahkan ceramah kerjaya daripada profesional pelbagai industri turut disediakan.”

Tambahnya lagi karnival ini juga tidak tertumpu kepada satu-satu industri tetapi kepada pelbagai bentuk dalam konteks pendidikan, pembinaan sehinggalah kepada ‘food and beverages’.

“Malah turut disediakan bimbingan kerjaya dan temuduga secara langsung yang diharapkan akan dapat membantu dan meningkatkan peluang kerjaya di luar sana. Justeru saya sekali lagi ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran Karnival Kerjaya BN pada tahun ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.