Hamzah Jangan Angkuh Dan Sombong, UMNO Guna Fakta Bukan Emosi – Armand

KUALA LUMPUR, 23 Jun –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dengan sinis mempertikai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengatakan UMNO tidak kuat.

Tegas beliau, UMNO tidak menggunakan emosi semasa berhadapan dengan pelbagai serangan terutama politik fitnah, sebaliknya mematahkan serangan itu dengan menggunakan fakta.

“Kita lihat sama ada UMNO kembali kuat atau tidak. Kita (UMNO) gunakan fakta dan bukan emosi seperti beliau (Hamzah). Berdasarkan fakta, lihat bagaimana angkuh dan sombongnya mengatakan mereka akan kekal memerintah di negeri Melaka tapi Alhamdulillah berkat kerjasama, sokongan, dukungan kebangkitan dan semangat UMNO/BN, Melaka menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Siapa boleh lupa … siapa yang mulakan tekan loceng hingga akhirnya BN laksanakan PRN Johor.  Negeri Johor juga kembali pada BN. Kita (UMNO) apabila berbicara lebih suka gunakan fakta dan bukannya emosi, angkuh dan sombong. UMNO suka bercerita tentang fakta dan bukan auta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran video yang dimuat naik dalam Facebooknya semalam.

Jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, sebagai Menteri Dalam Negeri sudah pasti ada laporan dari agensi kerajaan yang mengatakan BN kuat atau sebaliknya.

“Sudah pasti ada laporan pihak tertentu, ‘war room’, yang memikirkan sama ada kuat atau tidak kuat BN, dan sudah tentu ada jawapannya. Beliau pasti tahu apa akan jadi kalau pilihan raya diadakan cepat mungkin atau tidak dalam masa terdekat.

“Kita nak tengok sama ada boleh atau tidak boleh anda (Hamzah) kekal kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri dan juga boleh kekal kuasa beliau di Parlimen Larut,” ujarnya.

Armand seterusnya mengingatkan agar Ahli Parlimen Larut itu agar menghormati segala keputusan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Akhir sekali, tolong hormati keputusan yang dibuat oleh parti UMNO/BN dan kena ingat ‘Boss’ anda adalah Perdana Menteri dari UMNO, mungkin anda lupa.

“Boss anda adalah dari parti UMNO… kalau tidak puas hati sila hantar surat untuk letak jawatan,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.