SPM: Pahang Beri Insentif RM1,000 Kepada Pelajar Peroleh Semua A

KUANTAN, 23 Jun – Kerajaan Pahang bersetuju memberi insentif tunai RM1,000 kepada setiap pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pemberian itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan semalam yang melibatkan seramai 300 calon cemerlang daripada keseluruhan 17,008 calon SPM di negeri itu.

“Sumbangan ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada segala usaha, penat lelah, kesukaran dan ketekunan pelajar yang terpaksa belajar dalam suasana penuh cabaran termasuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan SPM 2021 diumum pada 16 Jun lepas.

Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang itu dan mendoakan mereka terus mencatat kejayaan pada masa depan.

Penghargaan juga diberikan kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang sentiasa menyokong dan membantu pelajar mencapai kejayaan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.