Masjid Pusat Pembangunan Ummah Dan Satukan Masyrakat – Raja Muda Perlis

KANGAR, 21 Jun – Institusi masjid merupakan pusat pembangunan ummah dan berperanan menyatukan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dalam melaksanakan Program Amal Jariah Melalui Kitar Semula dengan penglibatan institusi masjid, merupakan satu usaha yang mampu memberi impak besar dan positif kepada masyarakat di negeri ini.

“Melalui pelaksanaan program-program kesedaran seperti Amal Jariah Kitar Semula ini, institusi masjid akan dapat membantu agensi-agensi berwajib dalam mendidik dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat berkaitan kebersihan melalui aktiviti ceramah, seminar dan seumpamanya kepada kariah-kariah masjid,” titah baginda pada Perasmian Program Amal Jariah Melalui Kitar Semula di seluruh masjid negeri Perlis di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi SWCorp Datuk Rizalman Datuk Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar.

Tuanku Syed Faizuddin berharap program tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak institusi masjid serta kariah.

Titah baginda hasil penjualan barangan kitar semula tersebut sedikit sebanyak dapat digunakan untuk membantu kemudahan pembangunan dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di masjid.

“Beta menyeru agar agensi-agensi kerajaan mahupun swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memberikan komitmen yang padu dalam menjadikan Perlis sebuah negeri yang bersih dan sihat,” titah baginda.

Sementara itu, Rizalman berkata sebanyak 101 masjid menyertai program itu yang bermula Ogos tahun lepas dan sehingga kini sebanyak 6.8 tan sisa kitar semula berjaya dikumpulkan.

Katanya, Masjid Al-Amin, Sempering telah diberi Anugerah Kutipan Barangan Kitar Semula Tertinggi 2021 dengan jumlah kutipan sebanyak 1,383.80 kilogram. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.