Malaysia Fokus Wujud Bandar Pintar – Dr Adham

PETALING JAYA, 21 Jun – Malaysia memberi penekanan terhadap pewujudan bandar pintar berdasarkan trend peningkatan jumlah penduduk di kawasan bandar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah mewujudkan bandar pintar adalah satu daripada pendekatan untuk menyelesaikan isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang cekap melalui pengaplikasian teknologi.

“Menurut laporan Dasar Perbandaran Negara Kedua jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka meningkat daripada 20.29 juta pada 2010 kepada 27.30 juta menjelang 2025.

“Kini dianggarkan lebih 70 peratus daripada penduduk negara tinggal di kawasan bandar,” katanya ketika berucap melancarkan program rintis sandbox bandar pintar lestari antara National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dan Sunway Innovation Labs (iLabs) di sini hari ini.

Beliau berkata kewujudan bandar pintar di negara ini membolehkan penggunaan teknologi dibangunkan oleh bakat tempatan melalui inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti NTIS untuk membantu pihak berkuasa menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan kualiti hidup.

Pada majlis hari ini, MOSTI melalui agensi di bawahnya Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk sandbox bandar pintar menerusi Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS).

NTIS adalah platform untuk mempercepat usaha mengubah negara daripada menjadi pengguna teknologi kepada penghasil teknologi.

Melalui kerjasama ini inovasi yang dibangunkan oleh syarikat pemula Sunway iLabs Super Accelerator boleh disalurkan kepada NTIS untuk diuji dalam persekitaran bandar raya sebenar yang dibangunkan Sunway, menerima fasilitasi kawal selia dan pembiayaan sebelum membawa penyelesaian teknologi ini ke pasaran dan dilaksanakan di seluruh negara.

Usaha ini dilihat mampu menjadikan bandar Sunway sebagai makmal alami, membawa masuk bakat muda, tenaga intelektual, kepakaran penyelidikan, makmal inovasi dan aktiviti komersial untuk menjana penyelesaian sebenar di kawasan bandar pada masa hadapan.

Dr Adham berkata antara manfaat program rintis sandbox bandar pintar lestari ialah mencapai sasaran komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon ke arah sifar emisi karbon pada 2050 dan memacu Malaysia ke arah negara lebih hijau selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain itu rangka tindakan perbandaran Sunway boleh diadaptasi di seluruh negara bagi tujuan keselamatan, keselesaan serta bagi meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk dan pada masa sama memelihara alam sekitar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.