Pahang Salur RM1.83 Juta Bantu 9,144 Penjaja Harian

BENTONG, 20 Jun – Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan wang tunai RM200 secara sekali beri kepada 9,144 individu terdiri daripada golongan penjaja harian, melibatkan peruntukan RM1.83 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, dengan mereka yang menerimanya terdiri daripada peniaga pasar malam, pasar tani, pasar lambak dan peniaga kenderaan saji.

Secara keseluruhannya, BPP2022 yang dilancarkan pada April lepas, melibatkan peruntukan hampir RM30 juta, dengan sasaran penerima hampir 300,000 orang terdiri daripada empat kluster utama iaitu pelajar dan anak muda, golongan B40, umum serta aprisiasi.

“Sumber kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan negeri membantu dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat. Saya juga sering menyatakan bahawa setiap hasil yang diperoleh akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk seperti pembangunan dan sumbangan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa Dua kepada Penjaja Harian di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.

Selain penjaja harian, antara penerima lain BPP 2022 ialah veteran tentera dan bekas polis, murid tahun satu, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), masyarakat Orang Asli, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.