Lebih RM28 Juta Diperuntuk Bayar Elaun Bulanan Imam, Bilal Dan Noja Di Johor

ISKANDAR PUTERI, 20 Jun – Sebanyak RM28 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun bulanan kepada imam, bilal dan noja di Johor tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM12.6 juta disalurkan oleh kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Sementara itu, bakinya disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membayar elaun pegawai masjid iaitu imam 1 dan imam 2, katanya.

Menurutnya Mohd Fared Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengemukakan cadangan dan semakan elaun tersebut tahun lepas dan kerajaan negeri memang berhasrat menaikkan kadar elaun pegawai-pegawai masjid sebaik sahaja keadaan ekonomi mengizinkan.

“Walaupun kenaikan kadar elaun pegawai masjid dan surau di negeri ini tidak dapat dilaksanakan buat masa ini, mereka telah menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM500 seorang daripada Jakim melibatkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.

“Pegawai masjid dan surau ini juga telah menerima bantuan RM500 daripada kerajaan Negeri di bawah inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor tahun ini melibatkan peruntukan RM2.295 juta,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) mengenai jumlah elaun yang dibayar kerajaan negeri kepada imam, bilal dan noja serta bila kali terakhir elaun ini disemak dan dinaikkan.

Menurut beliau kerajaan amat prihatin dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini melalui pengimarahan masjid dan surau di seluruh Johor.

Menurutnya, untuk tujuan tersebut kerajaan negeri telah melantik seramai 5,710 pegawai masjid untuk memegang jawatan sebagai imam, bilal dan noja di 838 masjid dan 1,961 surau yang ada.

“Negeri Johor adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang memberikan elaun bulanan kepada imam dan bilal surau manakala negeri-negeri lain hanya memberi elaun kepada pegawai masjid.

“Walaupun elaun pegawai surau nilainya tidak tinggi, tetapi sekurang-kurang mereka juga tidak ditinggalkan dari sudut kebajikannya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.