Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Mampu Promosi Destinasi Pelancongan Perak

GERIK, 20 Jun – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Perak yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 3 Julai ini mampu menyemarakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jelajah AKM yang akan diadakan di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak itu mampu mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan dengan kehadiran pengunjung tempatan dari pelbagai negeri.

“Kita mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seluruh Kabinet yang akan hadir ke program tersebut dan berharap agar beliau dapat sama-sama mempromosikan negeri ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat khususnya bagi mereka yang tinggal di persekitaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Lawatan Kerja Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai Laluan FT004 Jalan Raya Timur Barat di Dewan Persidangan Gerik di sini, kira-kira 130 km dari Ipoh hari ini.

Program AKM itu dijangka dirasmikan Ismail Sabri pada 3 Julai ini.

AKM yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Dis tahun lepas.

Dalam pada itu, berhubung dakwaan laporan kononnya tiada lagi penerbangan dari Subang, Selangor ke Pulau Pangkor kerana kurang mendapat sambutan, Saarani berkata Tourism Perak sentiasa membuat promosi ke pulau pelancongan tersebut.

“Pendapat saya, promosi memang ada malah feri pun penuh. Mungkin promosi daripada syarikat penerbangan kena lebih, ikut permintaan. Sama ada perlu ada syarikat penerbangan lain (masuk ke Pulau Pangkor), itu di bawah bidang Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Saarani mengulas laporan bahawa penerbangan ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan syarikat SKS Airways Sdn Bhd (SKS Airways) sebaliknya hanya menawarkan penerbangan ke Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu, dipercayai ekoran kurang mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 25 Jan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.