Jasa, Pengorbanan Ronnie Dalam Sukan Lawan Pedang Sentiasa Dikenang – PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Keluarga Malaysia akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan mendiang Ronnie Ignatius Theseira dalam sukan lawan pedang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini, Ismail Sabri berkata negara kehilangan seorang legenda yang dihormati dalam sukan lawan pedang negara berikutan pemergian Ronnie, Sabtu lepas.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga atlet Olimpik Tokyo 1964 itu dan berharap mereka terus tabah menghadapi dugaan ini,” kata Ismail Sabri.

Ronnie, 92, yang membantu memperkenalkan sukan lawan pedang di Malaysia sekitar 1950-an, meninggal dunia akibat sakit tua.

Mendiang yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo merupakan pengasas Persatuan Lawan Pedang Amatur Malaysia selain pernah melatih kebanyakan bekas atlet negara pada era 1970-an dan 1980-an. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.