UNIKL Jalin Kerjasama Dengan Cranfield University UK Perluas Bidang Aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur, (UniKL MIAT) akan menjalinkan kerjasama dengan Cranfield University di United Kingdom (UK) bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama itu dirangka bagi program pascaijazah yang berteraskan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional peringkat tinggi atau High-TVET (H-TVET), bagi mendokong pembangunan teknologi dan keperluan industri aeroangkasa negara.

“Semalam, saya berjumpa dengan Pro Naib Canselor Profesor Helen Atkinson dan Dekan Kejuruteraan Aeroangkasa dan kalau boleh kita hendak supaya universiti ini dapat memberi kerjasama dengan UniKL untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar-pelajar kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui kerjasama itu, Mahdzir berkata UniKL dapat meningkatkan kepakaran dan tenaga kerjanya untuk mengendalikan program pengajian TVET peringkat tinggi atau H-TVET untuk program pascaijazah selaras dengan keperluan industri dan teknologi aeroangkasa yang terkini.

Selain itu, Mahdzir berkata kerjasama itu juga membolehkan UniKL membina pusat kecemerlangan serantau program pascaijazah aeroangkasa yang berorientasikan kepada keperluan industri, sekali gus mampu mewujudkan ekosistem antara pemain industri aeroangkasa.

Beliau berkata satu perjanjian kerjasama bagi tempoh lima tahun akan dimeterai tidak lama lagi antara kedua-dua pihak dan kelebihan Cranfield University adalah kaitannya secara langsung dengan syarikat Airbus dan Rolls-Royce yang boleh dimanfaatkan oleh UniKL MIAT.

“Kita di UniKL MIAT di Sepang dan Subang telah ada pelajar dalam kejuruteraan aeroangkasa di peringkat sijil profesional, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Jadi kita nak tingkatkan lagi kualiti capaian pelajar-pelajar dan kita hendak supaya ada peningkatan dari segi capaian di peringkat Sarjana dan Phd,” kata Mahdzir.

Cranfield University menduduki ranking kelima di UK bagi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan dalam senarai Ranking Universiti Dunia mengikut Subjek tahun 2022. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.