Malaysia Mahu Angkat Industri Perfilemannya Melalui Kerjasama Dengan Rakan ASEAN

BANGKOK, 18 Jun – Malaysia mahu meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri perfileman luar negara khususnya di negara-negara ASEAN, dalam usaha mengangkat industri perfileman negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Bangkok berkata beliau mahu meninjau peluang kerjasama antara penerbit dan pengedar filem di rantau itu.

Beliau mahu melihat lebih banyak kerjasama terjalin, antara penggiat industri itu di Malaysia dan negara- negara ASEAN, selain di China, India dan Korea.

“Kita tidak boleh tunggu untuk mereka datang. Kita perlu bertindak proaktf untuk membawa industri perfileman ke tahap berikutnya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, Annuar melawat Gross Domestic Happiness  (GDH) Studio, salah satu studio filem terbesar di Thailand.

GDH merupakan pengeluar filem pelbagai genre dan drama termasuk filem Bad Genius, filem tahun 2017 yang mencatatkan kejayaan besar sehingga di peringkat antarabangsa.

Annuar turut mengadakan perbincangan dengan ketua pegawai eksekutif GDH Jina Osothsilp, untuk menjalin kerjasama dengan Thailand dalam industri perfileman.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Lawatan ke GDH turut memberi peluang kepada Annuar untuk melihat sendiri usaha dan dasar yang dilaksanakan di Thailand, untuk mempromosi dan menggalakkan industri perfileman.

Beliau berkata Malaysia dan Thailand  sebelum ini telah  menandatangani perjanjian secara bilateral dalam bidang-bidang seperti telekomunikasi, industri kreatif serta industri filem dan muzik.

Namun, berikutan pandemik COVID-19, perjanjian yang dicapai tidak dapat dilaksanakan dan oleh itu Annuar berkata beliau mahu inisiatif itu disambung semula.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.