UniKL, IRSE Jalin Kerjasama Berkaitan Sistem Kawalan Isyarat Pengangkutan Rel

PUTRAJAYA, 16 Jun – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan menjalin kerjasama dengan badan perlesenan antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom (UK) iaitu Institute of Railway Signal Engineers (IRSE) berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.

Kolaborasi itu dimuktamadkan dalam pertemuan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Eksekutif IRSE Blane Judd ketika Mahdzir berada di UK sempena lawatan kerjanya bermula Jumaat lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Mahdzir berkata satu perjanjian khusus akan dimeterai bersama IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.

Menerusi kolaborasi itu, Mahdzir berkata Pusat Rel Asia UniKL akan dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula di peringkat sijil dan Diploma Lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE.

IRSE juga bersetuju menjadikan UniKL sebagai pusat penilaian kepada mana-mana individu profesional serta jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan IRSE untuk membolehkan mereka mendapat persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia, katanya.

UniKL iaitu insitusi pendidikan di bawah MARA, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, mempunyai fakulti serta universiti yang menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.

IRSE yang ditubuhkan pada 1912, mempunyai 5,000 ahli daripada 53 negara serta 5,759 pemegang lesen profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat dan telekomunikasi pengangkutan rel.

Dalam kenyataan sama, Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL Prof Madya Dr Azman Senin berkata bidang sistem kawalan isyarat komunikasi pengangkutan rel mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan yang boleh dimanfaat pelajar UniKL.

“Kita juga mempunyai keperluan daripada operator untuk mendapat tenaga kerja pakar dan kompetensi.

“Dengan pensijilan daripada IRSE, graduan yang kita lahirkan akan dapat bekerja dan diiktiraf bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat Asean,” katanya. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.