Perlombongan Nadir Bumi Di Hulu Perak Bukan Dalam HSK – Saarani

IPOH, 16 Jun – Projek rintis perlombongan lantanida iaitu sejenis nadir bumi di Hulu Perak bukan berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan di luar kawasan Central Forest Spine (CFS), kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata kawasan berkenaan merupakan tanah hak milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

“Jadi, mana-mana pihak terutama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang membuat dakwaan (kawasan itu merupakan HSK), saya minta dia tolong semak dengan Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Saya sendiri sudah semak dengan jabatan berkenaan yang mempunyai autoriti dan terbukti kawasan itu bukan berada dalam Hutan Simpan Kekal atau CFS,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 di sini semalam.

Semalam, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Perak mengkaji semula pelaksanaan projek melombong nadir bumi itu.

Pegawai Lapangannya Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata jika ia diteruskan, dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar termasuk mengganggu hidupan liar di kawasan berkenaan.

Beliau mendakwa projek itu terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang menjadi habitat kepada hidupan liar.

Mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030, Saarani berkata ia merupakan sebuah pelan pembangunan negeri komprehensif yang dirangka untuk jangka masa panjang berlandaskan tiga asas utama iaitu dinamik, realistik dan boleh capai dengan berpaksikan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.

Beliau berkata pelan tersebut merupakan kesinambungan kepada pelan pembangunan terdahulu dan menggarapkan pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

Saarani berkata agenda utama pelan berkenaan adalah sekuriti makanan, ekonomi digital, pembuatan keputusan dipacu data, perlombongan bestari iaitu bertanggungjawab dan mampan, koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tadbir urus projek berkepentingan negeri.

“Kerajaan negeri akan mempelopori sektor yang memberi nilai tambah kepada negeri, menambah peluang pekerjaan, merapatkan jurang pendidikan dan merentas usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.