PM Merafak Sembah Tahniah Tengku Permaisuri Selangor Sebagai Pro-Canselor UiTM Baharu
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin atas pemasyhuran sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu.
“Patik doakan agar pemasyhuran ini akan membuka lembaran baharu buat UiTM dan menjadi institusi pengajian tertinggi terunggul negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UiTM berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu bagi tempoh 18 Okt 2021 hingga 17 Okt 2024 itu diadakan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM. – BERNAMA