Agong Mahu IPT Terap Elemen Jujur, Amanah, Berintegriti Dalam Kalangan Mahasiswa

SHAH ALAM, 14 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) agar menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah usaha untuk memperkukuh integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik dan dewan syarahan IPT di seluruh negara.

Jelas baginda, pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

“Sesungguhnya prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Titah baginda, agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Jelas baginda sebagaimana catatan sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’, Tun Sri Lanang yang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.

Titah baginda, arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi juga membawa pelbagai impak dari segi sosiobudaya yang tanpa disedari turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat.

“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah memuji pencapaian graduan UiTM yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia menerusi pencapaian akademik yang cemerlang, khususnya para graduan daripada bidang perakaunan.

“Beta juga berasa sukacita dengan prestasi dan pencapaian UiTM yang kini berada pada kedudukan yang membanggakan dalam senarai penarafan universiti di Asia dan dunia pada 2021 dan 2022.

“Beta turut berbangga dengan kejayaan 26 atlet UiTM yang terpilih untuk mewakili negara ke Temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini,” titahnya.

Pada hemat baginda, UiTM kini telah jelas terbukti sebagai sebuah universiti yang melebar luas akses pendidikan dan dapat membuka peluang kepada anak bangsa untuk menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi.

Baginda bertitah universiti itu juga telah berupaya berperanan sebagai sebuah universiti yang menerajui pembangunan bakat demi untuk peningkatan taraf sosial dan ekonomi masyarakat di negara ini.

“Lantaran itu, universiti ini mampu pada saban tahun melahirkan graduan yang mempunyai kebolehan pasaran yang tinggi, berkualiti dan dengan nilai tambah yang menjadi pilihan pihak industri serta memenuhi keperluan kemahiran masa kini,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.